Sunday 3 January 2021

MENJEMUR GETAH KEPING SEBELUM DIJUAL

 
Sekarang, proses mendapat hasil menoreh getah lebih mudah berbanding dahulu. Biarpun proses menoreh getah masih sama, namun mungkin ada perbezaan teknik dan proses peningkatan pengeluaran.   
 
Apa yang dikatakan lebih mudah ialah pada masa dahulu penoreh getah perlu menghasilkan getah keping sebelum dapat dijual. Berbanding sekarang, getah dijual dalam bentuk beku yang mana ia dibiarkan membeku di dalam bekas khas atau plastik. 
 
Kerja memunggut getah beku hanya dilakukan dalam tempoh sekali dalam beberapa hari, berbanding perlu dilakukan setiap hari memunggu susu getah. 
 
Susu getah yang ditoreh menitis berkumpul di dalam cawan. Susu getah akan dipungut dari satu pokok ke satu pokok dimasukkan ke dalam bekas besar atau baldi. 
 
Susu getah yang dikumpul dibawa ke bangsal atau tempat khas untuk membekukan susu getah itu. 
 
Susu getah dimasukkan ke dalam bekas acuan zink. Ia dicampur cuka getah (sejenis asid) dan dikacau. Cuka getah dicampurkan bertujuan mempercepatkan proses membekukan susu getah tersebut. 
 
Dalam tempoh beberapa jam, susu getah akan membeku. Selepas susu getah menjadi beku, ia dikeluarkan dengan cara ditelengkup dan kemudian dilenyek menggunakan tangan agar menjadi lebih nipis dan lebar. 
 
Untuk menjadikan ia lebih lebih nipis, ia perlu melalui proses dimesin menggunakan mesin penggelek. 
 
Ada dua jenis mesin, iaitu mesin lurus dan berjalur. Mula-mula ia melalui proses menggunakan mesih lurus atau licin. Kepingan getah yang masih basah itu akan berulang kali dimasukkan ke dalam antara dua batang besi sehingga nipis. 
 
Proses seterusnya ialah menggunakan mesin getah berjalur. Hasilnya getah keping tersebut berbentuk 4 segi lebar dan berjalur seperti bunga tayar kereta. 
 
Untuk memudahkan memesin getah memerlukan dua orang. Seorang memegang getah, manakala seorang lagi akan memusing. 
 
Di kampung-kampung biasanya anak-anak akan membantu ibu bapa sebagai jurupusing mesin penggelek kerana ia biasanya dilakukan waktu petang yang mana anak telah pulang dari sekolah. 
 
Getah keping yang dihasilkan selepas digelek masih dalam keadaan lembab biarpun air sudah hampir tiada. Jadi, ia perlu disidai atau dijemur agar ia menjadi kering. 
 
Pada hari pertama dan kedua biasanya getah akan diletakkan di tempat terbuka yang terkena cahaya matahari. Pada hari seterusnya ia akan disidai di bawah bangsal untuk beberapa hari lagi sebelum dijual. 
 
Tidak pasti mengapa ia tidak dibiarkan dijemur terus di bawah terik matahari.

1 comment: