Monday, 26 December 2016

LANUN DI BUKIT KELUANG


Lanun di Bukit Keluang. Pantai peranginan terkenal yang terletak di daerah Besut, Terengganu pernah dijadikan sarang lanun. 

Bukit Keluang terletak kita-kira enam kilometer dari Kampung Raja, pusat pentadbiran bagi daerah Besut.   

Pada masa dahulu memang terdapat banyak kumpulan lanun yang bermaharajalela di kawasan perairan Kelantan dan Terengganu.  

Mereka melakukan rompakan di laut terhadap kapal-kapal yang berlayar dari Selatan Thai dan Indo China menuju ke kepulauan Nusantara.  

Kawasan Bukit Keluang yang mempunyai beberapa buah gua dan terletak jauh dari kampung memang sesuai dan selamat dijadikan tempat tinggal oleh kumpulan lanun. 

Tambahan pula, kawasan tersebut sukar didatangi dari kawasan luar kerana dikelilingi oleh kawasan paya dan hutan bakau.

Kawasan Bukit Keluang juga dianggap kawasan ‘selamat’ kerana berada jauh dari pusat pentadbiran kerajaan negeri, iaitu kerajaan Kelantan di Kota Bharu dan kerajaan Terengganu di Kuala Terengganu.  

Bukit Keluang terletak kira-kira 60 kilometer dari Kota Bharu, dan 120 kilometer dari Kuala Terengganu.  

Kerajaan kesultanan di kedua-dua negeri itu lebih menumpukan kepada urusan di ibu negeri masing-masing. 

Tambah lagi, masalah perebutan kuasa antara kerabat diraja dan peperangan dengan kerajaan-kerajaan berhampiran masih lagi berlaku. Jadi, kerajaan-kerajaan negeri pada waktu itu tidak begitu menumpukan kepada usaha membanteras lanun.   

Catatan mengenai kawasan Bukit Keluang telah dijadikan sebagai tempat tinggal kumpulan lanun terdapat di dalam buku Kisah Pelayaran Abdullah yang ditulis oleh Abdullah Abdul Kadir Musnyi, seorang pelayar dan penulis terkemuka dalam sejarah kesusateraan negara kita. 

Abdullah Munsyi mencatatkan di dalam buku kisah pelayarannya bahawa dia telah berselisih laluan dengan sekumpulan orang yang kelihatan gagah berada di atas sebuah perahu.  

Bagaimanapun, dia tidak mengetahui siapakah kumpulan orang tersebut sehinggalah dia diberitahu oleh orang di Kelantan bahawa kumpulan tersebut adalah lanun. Peristiwa tersebut berlaku pada bulan Mac 1838.

No comments:

Post a Comment