Monday, 26 December 2016

FIKIR LOJIK BUAT KEPUTUSAN

Otak organ penting dalam diri manusia. Otak berada dalam dua bentuk yakni secara fizikal yang dinamakan otak dan secara rohani dipanggil minda, akal atau fikiran. 

Otak dalam bentuk fizikal tidak ada bezanya dengan apa terdapat pada haiwan yang berperanan untuk mengkordinasikan fungsi organ badan dan tindakbalas spontan berdasarkan kebiasaan.

Bezanya otak manusia berbanding haiwan ialah pada akal. Melalui akal, manusia mampu menerima segala ilmu yang berbentuk teori serta mampu untuk menyusun idea-idea. 

Akal dalam bentuk ini merupakan asas utama kepada fikiran manusia. Lantaran itu, akal yang bersifat positif jika digunakan untuk kebaikan akan menjadikan seseorang itu mulia dan berjaya dalam apa jua perkara yang ingin dilakukan.

Sebaliknya, akal yang membawa manusia kepada keburukan akan meletakkan manusia lebih hina berbanding haiwan.  

Kesesatan manusia disebabkan mereka menggunakan akal diarahkan untuk tujuan negatif  yang menyebabkan mereka binasa dan hina. 

Mereka berfikir bagaimana ingin melakukan perkara yang mendatangkan keburukan kepada diri sendiri dan orang lain.  

Biasanya, kesan buruk kepada diri sendiri dilakukan tanpa sedar atau kerana terpengaruh ajakan kawan sehingga tidak dapat melepaskan diri daripada perbuatan itu.

Terdapat falsafah atau seni berfikir yang dinamakan logik atau dikenali di kalangan ilmuan Islam sebagai mantik.  

Kaedah berfikir secara logik telah muncul sejak kurun ke 5 Sebelum Masihi di Yunani. Antara tokoh awal ilmu logik ialah Socrates, Plato, Aristotles dan banyak lagi.

Kaedah pemikiran logik pada ketika itu banyak digunakan dalam seni bahas dan pidato, selain mencari penyelesaian isu dan keperluan semasa.  

Aristotles terkenal sebagai “Bapa Logik” yang menjadikan beliau ahli falsafah terkenal sehingga sekarang. Beliau adalah orang pertama yang membentangkan cara berfikir yang teratur dalam suatu sistem.

Ilmu mantik atau logik iaitu suatu ilmu yang membahaskan tentang pemikiran dan apa yang tergambar dalam akal pemikiran manusia supaya diterjemahkan menjadi teori yang benar dan mengelak dari berfikir yang salah.  

Ilmu mantik sering disebut ibu segala ilmu atau dikatakan ilmu dari segala yang benar.

Dengan tuntasnya, mantik diibaratkan suatu yang membicarakan tentang kaedah-kaedah yang dapat memandu manusia ketika berfikir dan mereka melahirkan pemikiran bersesuaian dengan ucapan serta dapat menapis maklumat-maklumat yang diterima sama ada sah atau tidak sah.

Di antara manfaat ilmu Mantik ialah membuat daya pemikiran seseorang lebih tajam tetapi lebih berkesan melalui latihan-latihan berfikir dan menganalisis serta mengungkap permasalahan secara ilmiah. 

Membuat seseorang menjadi mampu meletakkan sesuatu pada tempatnya dan mengerjakan sesuatu pada waktunya.  Ilmu mantik juga membuat seseorang mampu membezakan antara yang baik dan buruk. 

No comments:

Post a Comment