Monday, 26 December 2016

NASIB WANITA TERBELA

Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) yang ditubuhkan pada 1963 telah melakar banyak kejayaan bermakna dalam mengangkat martabat wanita Malaysia. 

Semua pencapaian itu membentuk landasan bagi penyertaan wanita dalam Program Transformasi Kebangsaan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang terangkum dan lestari menjelang 2020.

Seawal 1961 lagi, jawatankuasa penaja yang dibentuk lapan organisasi pengasas berjaya merayakan Hari Wanita yang pertama pada 25 Ogos 1962, satu tarikh yang dipersetujui Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang merasakan bahawa negara harus menghargai wanita terlebih dahulu sebelum merayakan kemerdekaan dan mengiktiraf sumbangan besar wanita dalam memperoleh kemerdekaan. Tunkulah juga yang melantik menteri wanita pertama pada 1969.

Berpegang kuat kepada nilai perpaduan, keharmonian, keamanan, kesaksamaan dan keadilan, struktur organisasi dan gerak kerja NCWO melambangkan penghormatan yang jitu terhadap kepelbagaian etnik dan kepentingan di kalangan ahli bersekutunya. 

Bolehlah dirumuskan bahawa pertubuhan besar ini memaparkan dengan jelas model 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Kejayaan pertama NCWO adalah mengesyorkan kepada kerajaan untuk menukar status pekerja wanita yang berkahwin daripada berjawatan sementara kepada berjawatan tetap dan berpencen menerusi penguatkuasaan Akta Persaraan (Pindaan) 1968. 

Seterusnya dasar gaji sama bagi pekerjaan yang sama nilai dan wanita berkahwin diiktiraf sebagai seorang yang mempunyai hak individu menerusi Akta Cukai Pendapatan (Pindaan) 1975 yang membenarkan penaksiran berasingan untuk mereka.

Dalam perhimpunan Hari Wanita pada 1975, Tun Abdul Razak Hussein mengumumkan pembentukan Majlis Penasihat Kebangsaan bagi Integrasi Wanita dalam Pembangunan (NACIWID). 

Majlis ini ditubuhkan oleh Tun Hussein Onn dan menjadi titik tolak kepada pembentukan jentera kerajaan yang dinaik taraf dari sebuah unit ke bahagian, jabatan dan akhirnya kementerian.

Pada 2001, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ditubuhkan di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Dalam tempoh itu juga, Dasar Wanita Kebangsaan digubal dan satu bab mengenai wanita dalam pembangunan diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Keenam. Artikel 8(2) Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menghalang diskriminasi berasaskan gender.

Pada 2004, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengisytiharkan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita memegang jawatan pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam. Pada 2011, Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman yang sama bagi sektor swasta.

Tidak dinafikan wanita Malaysia menunjukkan kemajuan mengagumkan dalam hampir semua bidang, terutama pendidikan sejak 50 tahun lalu. Nisbah 60:40 peratus wanita berbanding lelaki di universiti hanyalah satu contoh untuk menggambarkan keadaan tersebut. 

Memperkasakan wanita menerusi pendidikan adalah pendekatan paling berkesan untuk pembangunan negara. Wanita berpendidikan tentunya menyumbang kepada pertumbuhan negara.

Namun, terdapat beberapa isu yang masih belum dapat diselesaikan dan menjadi penghalang kepada wanita menyerlahkan potensi mereka yang sebenar. Ini dicerminkan oleh hanya 46 peratus wanita yang menyertai pasaran kerja, satu kadar yang terendah di rantau ASEAN bagi tempoh tiga dekad. 

Wanita masih membentuk kumpulan majoriti dalam golongan 60 peratus terbawah yang memperoleh pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan. Pembabitan wanita di peringkat membuat keputusan dalam sektor awam dan swasta juga masih pada tahap rendah dan menyedihkan.

Sungguhpun berada dalam sekitaran dasar kerajaan yang memberangsangkan dan banyak peluang yang terbuka kepada mereka, wanita masih belum menikmati faedah yang sama dinikmati golongan lelaki. 

Ini disebabkan undang-undang, dasar, amalan, salah tafsiran agama, nilai dan struktur sosial yang memihak kepada lelaki masih ketara dan menonjol.

Penyediaan kemudahan sokongan seperti pendidikan dan jagaan awal kanak-kanak masih lagi kurang dan tidak mencukupi. Isu seperti ini harus diberi perhatian besar bagi mengupayakan wanita membabitkan diri dalam program transformasi negara.

Kita perlu berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mencabar dan mengubah budaya dan tadbir urus organisasi yang membelenggu wanita untuk sekian lama. 

Kita harus membina perkongsian pintar dan lestari yang membolehkan budaya korporat mengiktiraf dan memanfaatkan kekuatan perbezaan gender dan membolehkan wanita maju dalam kerjaya mereka.

NCWO yakin Perdana Menteri akan menyuntik keazaman politik yang diperlukan bagi membolehkan wanita terus mara dengan gagah dalam merealisasikan transformasi negara untuk mencapai status berpendapatan tinggi yang terangkum dan mapan menjelang 2020.

No comments:

Post a Comment