Hudud pernah dilaksanakan pada
zaman Kesultanan Melayu Melaka. Berdasarkan Sulalatus Salatin, undang-undang
Islam mula diterapkan dalam Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka
ketika zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah.
Sebelum itu, undang-undang di
Melaka berteraskan adat dan agama Hindu yang kuat mengamalkan sistem kasta.
Golongan bangsawan dan pemerintah
kebal daripada menerima sebarang bentuk hukuman atas kesalahan yang dilakukan.
Melainkan, kesalahan yang berkaitan dengan melawan pemerintah, pasti diperangi
biarpun melibatkan sesama saudara.
Perkara ini berubah dengan ketara
apabila undang-undang Islam diamalkan. Sesuai dengan perlaksanaan hukuman Islam
yang tidak mengenal darjat dan keturunan, semua yang bersalah dikenakan hukuman
yang sewajarnya.
Pengamalan Undang-undang Islam
termasuk hudud sebenarnya banyak mengubah landskap pentadbiran dan politik di
Melaka. Menariknya, tidak lama selepas Sultan Muzaffar Syah menerapkan
undang-undang Islam, Melaka mencapai kegemilangannya terutama di bawah
pemerintahan Sultan Mansur Syah.
Jika merujuk lagi sumber Sulalatus
Salatin, ketika hudud dilaksanakan di Melaka, rakyat Melaka rata-ratanya orang
kaya.
Ini sebagaimana yang dicatatkan
"Maka Hang Nadim pun pergilah naik kapal Hang Isap; kerana orang Melaka
pada masa itu, rata-rata berkapal segala yang bermodal". Kemakmuran dan
kekayaan yang melanda kerajaan Melaka ialah kerana kepesatan aktiviti
perdagangan di bumi Melaka.
Apabila undang-undang Islam
diamalkan, pelabuhan Melaka menjadi pelabuhan yang paling aman di Nusantara
sehingga menyebabkan para pedagang asing suka singgah berdagang di sini.
Barangkali, inilah keberkatan yang
diperolehi oleh rakyat jelata di Melaka hasil dari pengamalan undang-undang
Islam.
Para kerabat sultan juga tidak
kebal sepenuhnya sebagaimana zaman sebelum undang-undang Islam dilaksanakan.
Ini dapat dibuktikan dalam peristiwa pembunuhan Tun Besar oleh Raja Muhammad.
Akibat membunuh Tun Besar, Raja
Muhammad yang merupakan pewaris takhta kerajaan Melayu Melaka telah dilucutkan
takhtanya dan beliau dibuang negeri ke Pahang.
Maka itu, Sultan Alauddin Riayat
Syah mewarisi takhta kesultanan Melaka walaupun beliau bukanlah putera sulong.
Walaupun hukuman ini tidak setimpal, tetapi sekurang-kurangnya ia mengubah
landskap politik di Melaka yang mana sebelum ini kerabat diraja bebas dari
hukuman.
Selain itu, di Melaka,
sultan-sultan amat menghormati golongan ulama. Sekali pun sultan yang
berperibadi negatif seperti Sultan Mahmud Syah, yang amat jelik kisah
kemungkaran untuk diceritakan. Namun sikap beliau yang menghormati para ulama
wajar dijadikan contoh.
Siapa yang tahu, barangkali inilah
keberkatan dalam melaksanakan undang-undang Islam di Melaka. Sulalatus Salatin
menceritakan bahawa beliau sanggup berjalan kaki ke rumah Maulana Yusuf,
seorang ulama dan bekas kadi di Melaka semata-mata mahu belajar agama.
Undang-undang Islam sesuai
diamalkan sepanjang zaman. Manusia yang menuruti acuan perjalanan hidup yang
ditetapkan oleh Allah SWT pasti mendapati ia cara hidup yang terbaik.
Sebagai umat Islam, kita mesti
yakin bahawa undang-undang Allah SWT adalah undang-undang terbaik. Pun, dalam
melaksanakan undang-undang ini, sebagai manusia yang banyak kelemahan,
kerajaan-kerajaan Islam yang lampau dan masa kini pasti tidak akan terkecuali
dari memiliki kelemahan-kelemahan.
Yang lemah kita pakat-pakat baiki
bukannya saling menyalahkan. Jujurlah dalam usaha perlaksanaan hukum Islam dan
usahlah dijadikan modal politik semata-mata. Sesungguhya Allah SWT menilai
sesuatu perbuatan dan amalan berdasarkan kepada niat.
No comments:
Post a Comment