Minggu orientasi atau minggu suaikenal sering
dipandang dari sudut negatif dikaitkan dengan perbuatan mendera pelajar baharu
oleh pelajar senior.
Perkataan
orientasi bermaksud satu kegiatan atau program yang dirancang bertujuan
menjadikan seseorang faham akan sesuatu yang berkenaan.
Orientasi juga bermaksud kegiatan yang akan
dapat menyesuaikan diri dengan sesuatu yang baharu.
Sebab itu, pelajar baharu di sekolah atau
institusi pengajian tinggi perlu mengikuti program minggu orientasi. Program
bertujuan membantu pelajar baru menyesuaikan diri dan mendapat maklumat
mengenai pengajian, persekitaran dan peraturan yang ditetapkan di tempat
baru.
Biasanya,
program orientasi diadakan sebaik selepas tempoh pendaftaran untuk tempoh
sekurang-kurangnya tiga hari dan ada melebihi seminggu, bergantung kepada
pengisian program yang ditetapkan.
Masa orientasi adalah peluang terbaik untuk pelajar baru mengetahui,
mempelajari dan memahami banyak perkara baru.
Kefahaman
dan pengetahuan yang ditimba sepanjang tempoh orientasi akan memudahkan pelajar
menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dan memudahkan untuk memulakan
pengajian di tempat baru dengan lancar dan teratur.
Memandangkan
banyak perkara ingin dijayakan sepanjang program orientasi, sedangkan masa agak
terhad, maka susunan program begitu padat dengan pelbagai aktiviti. Setiap
ruang masa diisi sepenuhnya, bermula dari pagi sehinggalah sampai lewat malam.
Sepanjang
tempoh orientasi, pelajar tidak mempunyai peluang untuk rehat yang cukup.
Keadaan ini tidak dinafikan menjadikan program orientasi memberi tekanan mental
dan fizikal kepada pelajar yang tidak biasa berdepan dengan keadaan sedemikian.
Pelajar
tidak sepatutnya mengeluh atau merasa seperti didera. Sememangnya itu adalah
cabaran permulaan yang perlu dihadapi dengan semangat juang yang jitu dan
berkobar-kobar. Aspek cabaran sedemikian didedahkan kepada pelajar sebagai satu
pengalaman baru.
Sepanjang
program orientasi adalah masa peralihan untuk melatih dan membimbing pelajar
baru membentuk identiti diri bersesuaian dengan status pusat pengajian itu.
Mereka
didedahkan dengan aktiviti bersifat keilmuan dan dapat menyakinkan tentang
tugas dalam usaha mencapai kecemerlang akademik dan akhlak.
Program
berbentuk ceramah, perbincangan berkumpulan, bekerja dalam kumpulan,
perdebatan, merancang dan melaksanakan program, aktiviti keagamaan, aktiviti
kemasyarakatan, bina diri dan bersukan adalah antara aktiviti yang biasa
diadakan sepanjang orientasi.
Aktiviti
itu adalah teras mendedahkan dan melatih pelajar memahami banyak perkara yang
berkaitan tugas mencapai tahap kematangan ilmu.
Perjalanan
program orientasi dibantu oleh pelajar senior yang dipilih khas oleh pihak
pentadbiran. Kumpulan senior biasanya dikenali jawatankuasa orientasi (JO) atau
nama lain mengikut kesesuaian program.
Pelajar
senior yang dipilih adalah kumpulan pelajar terbaik, dari segi pencapaian
akademik maupun akhlak, kepimpinan dan kemahiran tertentu.
Kehadiran
JO bukan saja membantu melancarkan program orientasi, bahkan diharapkan menjadi
contoh kepada pelajar baru. Penyertaan dan kejayaan diraih oleh JO boleh
dijadikan panduan untuk pelajar baru merancang mencapai perkara yang sama,
bahkan mungkin lebih baik daripada itu.
Tugas
utama JO ialah memastikan susun atur program dipatuhi dan dilakukan dengan
lancar. Selain itu mereka biasanya bertindak sebagai fasilitator dan penyelaras
bagi aktiviti-aktiviti tertentu.
Didapati
banyak pelajar baru fobia berdepan minggu orientasi disebabkan ada cerita
mengatakan pelajar junior akan menjadi mangsa buli pelajar senior. Kejadian
tersebut berlaku disebabkan ada segelintir pelajar senior yang ‘samseng’ dan
kaki buli.
Kejadian
ini sebenarnya tidak kena mengena dengan program orientasi dan ditegah sama
sekali. Kes buli banyak berlaku ketika selepas minggu orientasi yang dilakukan
pelajar senior yang berlagak hebat.
Pelajar baru perlu memanfaatkan program
orientasi bagi kebaikan proses pembalajaran yang masih lama perlu
ditempuhi. Permulaan yang baik adalah perintis kepada kesudahan dan
pencapaian yang baik kemudiannya.
Gambar beduk di Masjid Ar Rahman, Pulau Gajah tiada kaitan dengan tulisan ini. Sekadar hiasan.
Tepat sekali tu boh.
ReplyDeleteProgram orentasi itu lebih kepada penyesuaian yang bermula pada suai kenal antara pelajar baru dengan pelajar lama, mengenal dan memahami peraturan yg diguna pakai dalan lingkungan sebuah institusi, membentuk simulasi minda sesuai dengan peringkat pengajian / institusi, mengurangkan rasa resah atau tak selesa sesama pelajar, memahami ruang lingkup kawasan persekitaran supaya penuntut dapat menfaatkan sesuai dengan keperluan dan kegunaannya.
Adapun penderaan yang berlaku antara pelajar senior dan junior adalah jalur lain yang tidak termasuk dalam maksud orentasi. Amalan regging ini sebenarnya satu bentuk penderaan yang terkeluar daripada norma adab sopan santun serta amalan murni yang menjadi asas penerapan nilai peri kemanusiaan yang digalakkan dalam satu-satu persatuan atau badan,team institusi dan sebagainys. Ia dipandang salah tidak termasuk dalam maksud atau difinasi ORENTASI.