Tuesday, 17 January 2023

SIKAP MEMBAWA KEPADA MURTAD TERSEMBUNYI

  
Murtad di kalangan orang Melayu kini sudah menjadi ancaman kepada kita. Indeks pencemaran akidah semakin buruk. Murtad yang berlaku ini bukan sahaja dengan mereka menukar agama atau memeluk agama lain.
 
Murtad di sini adalah bila mereka mengiyakan apa saja perbuatan buruk dilakukan terhadap Islam dan pada masa sama menyokong apa-apa perbuatan yang dilakukan bukan Islam. Perbuatan itu dilakukan demi politik dan atas dasar hak kebebasan kemanusiaan.  
 
Rasulullah SAW berpesan dalam satu sabda bermaksud: "Bersegeralah kamu melakukan amalan soleh kerana akan datang kepada umatku di suatu masa, satu fitnah yang begitu besar yang datangnya seperti satu kepingan hitam di malam gelap gelita tak nampak".
 
Sahabat bertanya: "'Apakah fitnah besar itu ya Rasullullah? "Fitnah itu adalah kamu akan lihat umatku di hari itu, pada waktu itu, pada masa itu, pagi hari Islam, petang kafir. Petang Islam, pagi kafir balik.' Sahabat bertanya lagi. 'Mengapa begitu ya Rasullullah?' Rasullullah SAW menjawab: "Sebab dia jual agamanya dengan nilai dunia".
 
Imam Ghazali pernah berkata dalam perkara ini: "Akan datang fitnah murtad ini dalam keadaan seperti semut hitam di atas batu hitam di malam gelap". Gambaran diberikan ialah bagaimana gerakan ini dapat dilihat kalau begitu keadaannya. Satu cara untuk mengahadapi cabaran ini hanyalah dengan cahaya keimanan.
 
Memang sukar untuk mengenal siapa yang telah murtad kerana pada masa sama mereka masih mengamalkan cara hidup Islam dan melakukan ibadat khusus seperti orang Islam lain.
 
Sebab itu, kita jangan leka dengan gerakan tersebut. Mereka sendiri jika dikatakan telah murtad pasti akan membantah dan tidak mengaku. Malah, mereka mengaku diri lebih Islam daripada orang lain.
 
Gerakan murtad ini selari dengan gerakan liberalisme dan pluralisme yang memberi gambaran bahawa Islam boleh menerima apa saja nilai-nilai yang diamalkan penganut agama lain dan mengaku agama lain juga baik dan boleh mengikut sebahagian daripada amalan agama lain yang didakwa lebih baik dan diterima ramai.
 
Inilah serangan pemikiran yang melanda umat Islam di Malaysia, bahkan juga di seluruh dunia. Musuh Islam tidak berhasrat untuk mengubah status agama dalam kad pengenalan atau apa-apa rekod peribadi individu Islam, tetapi sudah memadai mengubah cara pemikiran dan amalan hidup seharian.
 
Tindakan itu agar menepati Perkara 11 Fasal 4 menyebut mengenai undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekal pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganut agama Islam.  
 
Bahkan orang bukan Islam tidak mahu gerakan memurtadkan orang Islam nampak ketara kerana tidak mahu dikenakan tidak undang-undang. Situasi inilah perlu difahami atau disedari umat Islam agar tidak terpengaruh atau terikut-ikut dengan fahaman liberal dan plural yang giat dilakukan terhadap umat Islam sekarang.
 
Gambar - sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment