Thursday, 12 January 2023

MAAFKAN KESALAHAN ORANG TERHADAP KITA

 
Dalam kehidupan seharian kita tidak lepas daripada berdepan dengan perbuatan atau tindakan orang lain terhadap kita yang bersifat tidak baik seperti menfitnah, mengumpat, menipu, menyakitkan dan sebagainya.
 
Secara semula jadi sifat manusia tentu sekali kita akan berasa marah dan akan mengingati perbuatan buruk itu terhadap kita, tambah-tambah lagi ia memberi kesan mendalam dalam kehidupan kita.
 
Pun begitu, ajaran Islam mengajar kita agar mempunyai sikap memaafkan dan melupakan kesalahan orang terhadap kita.
 
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran). Mereka sentiasa mengubah Kalimah-kalimah (yang ada di dalam kitab Taurat dengan memutarnya) dari tempat-tempatnya (dan maksudnya) yang sebenar, dan mereka melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka mereka dengannya. Dan engkau (wahai Muhammad) sentiasa dapat melihat perbuatan khianat yang mereka lakukan, kecuali sedikit dari mereka (yang tidak berlaku khianat). Oleh itu, maafkanlah mereka (jika mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan, kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya.” (Surah al-Maidah, ayat 13)
 
Sikap buruk dan perangai jahat bangsa Yahudi yang melanggar perjanjian antara mereka dengan Allah SWT menyebabkn mereka dilaknat dan hati menjadi keras (degil dan sukar untuk dinasihati).
 
Namun jika mereka mahu bertaubat, mereka diberikan kemaafan atas kesalahan lalu, bahkan Rasulullah SAW disuruh melupakan kesalahan tanpa diungkit kembali.
 
Allah SWT mahu mendidik kita bahawa kemaafan yang sempurna perlu disertakan dengan tindakan melupakan terus kesalahan pihak yang telah berbuat salah tanpa menaruh rasa dendam kesumat dalam hati.
 
Dikisahkan tentang kemarahan Sayidina Abu Bakar apabila seorang budak hamba yang berada di bawah jagaannya turut terlibat menyebarkan berita fitnah tentang Aisyah. Lalu Allah SWT menganjurkan agar budak hamba itu dimaafkan dan dilupakan kesalahan beliau.
 
Firaman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nur, ayat 22)
 
Begitu juga tindakan bangsa Yahudi yang mahu memurtadkan umat Islam kerana hasad dengki dalam hati mereka, dibalas dengan kemaafan dan tanpa dihiraukn lagi sehingga datangnya hukuman dari Allah.
 
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah, ayat 109)
 
Sesungguhnya, Allah SWT menambahkan kemuliaan kepada Nabi Yusuf kerana memaafkan semua kesalahan lalu abang-abangnya.
 
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Yusuf berkata: " Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.” (Surah Yusuf, ayat 92)
 
Berdasarkan kepada maksud ayat-ayat di atas, bersama-samalah kita menyuburkan ifat memaafkan dan melupakan kesalahan orang lain terhadap kita. 
 
Gambar - Masjid Qudus Pusat Pengajian Pondok, Kampung Kandis - sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment