Pesta Flora Negeri Kelantan 2026 tampil dengan konsep lebih
interaktif apabila pengunjung bukan sahaja berpeluang melihat pelbagai pameran,
malah boleh belajar, mencuba dan menyertai aktiviti yang disediakan sepanjang
empat hari penganjuran.
Pesta Flora Negeri Kelantan 2026 berlangsung pada 24 hingga
27 September 2026 di Taman Perbandaran Tengku Anis, Tanjung Chat, Kota Bharu,
sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V Ke-57 Tahun
2026.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Sultanah Kelantan,
Sultanah Nur Diana Petra Abdullah pada 24 September 2026.
Bertemakan “Alam Lestari, Komuniti Harmoni”, pesta berkenaan
menggabungkan elemen florikultur, landskap, pertanian, pendidikan,
keusahawanan, kebudayaan dan rekreasi dalam satu acara mesra keluarga.
Konsep interaktif menjadi antara kelainan utama pesta tahun
ini di mana pelbagai aktiviti disediakan kepada pengunjung untuk mengambil
bahagian secara langsung, termasuk pertandingan dan program pendidikan.
Antara aktiviti melibatkan pengunjung ialah Pertandingan
Busana Flora Kreatif dan Inovatif Peringkat Sekolah Rendah, pertandingan
melukis dan mewarna kanak-kanak, pertandingan fotografi, kuiz serta pelbagai
aktiviti lain.
Pendekatan tersebut menjadikan pesta flora bukan sekadar
ruang untuk melihat tanaman dan landskap, sebaliknya turut menjadi platform
pembelajaran serta aktiviti keluarga.
Pesta tersebut turut memberi peluang kepada usahawan
tempatan menerusi penyediaan 83 reruai. Reruai tersebut membuka peluang untuk
pengunjung mengenali serta mendapatkan produk berkaitan florikultur, tanaman
dan perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Seperti edisi sebelum ini,12 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Kelantan
terlibat membuat pameran dan pertandingan landskap. Tahun ini, tema yang
ditetapkan ialah “Laman Fantasi”.
Pengunjung turut boleh melihat pameran bunga ros, paludarium
dan bromeliad yang menjadi sebahagian daripada pengisian utama Pesta Flora
Negeri Kelantan 2026.
Turut diadakan ialah persembahan dikir barat dan wayang
kulit.
Gabungan aktiviti flora, pendidikan, keusahawanan dan
kebudayaan menjadikan Pesta Flora Negeri Kelantan 2026 sebagai program yang
merangkumi pelbagai lapisan pengunjung.





No comments:
Post a Comment