Thursday 25 January 2018

ASAL USUL SEJARAH MENORA

Menora satu tradisi masyarakat Siam di Malaysia, khususnya di Kelantan, Kedah dan Perlis. Menora mempunyai banyak erti dan bergantung kepada si penutur itu sendiri. Menora boleh membawa maksud mendatari (dance-drama), pembaca puisi, atau pemimpin kumpulan, atau pelakon atau penari persembahan itu.

Menora adalah sejenis drama tari. Sama seperti Makyung, Mekmulung, Jikey dan lain-lain. Dramatari adalah bermaksud suatu persembahan yang merangkumi drama, nyanyian, dan tarian.

Terdapat beberapa versi berkaitan dengan asal menora. Namun, tidak diragui bahawa menora berasal dari Selantan Thailand yang pada masa dahulu pernah dikuasai kerajaan dari Tanah Melayu.

Mengikut catatan sejarah, menora berasal dari minat seorang puteri raja di Phattalung yang bernama Srimala terhadap tarian dan bunyi-bunyian.

Minat Puteri Srimala yang mendalam terhadap apa sahaja jenis bunyi-bunyian seperti tepukan gendang, kayu ataupun tempurung mendorong beliau untuk menari apabila terdengar sahaja bunyi-bunyian tersebut.

Aneh dengan keadaan puterinya, Raja Phattalung merujuk hal ini kepada seorang tukang tilik yang dikenali sebagai Hohra bagi mendapatkan penjelasan.

Namun ternyata Hohra mempunyai sifat iri hati terhadap kelebihan Puteri Srimala, maka beliau telah mencadangkan kepada Raja Phattalung supaya Puteri Srimala dibuang ke sebuah pulau kerana menurut firasat Hohra, negeri tersebut akan ditimpa bala bencana sekiranya Puteri Srimala masih berada di Phattalung. 

Tanpa banyak berfikir dan demi keselamatan negeri dan rakyatnya, raja Phattalung mengambil keputusan untuk menghanyutkan Puteri Srimala bersama empat orang pengikut atas sebuah rakit.

Dua daripada mereka bernama Ta Mo Thep dan Thep Shing Hon. Oleh kerana terlalu berminat terhadap tarian, Puteri Srimala dan pengikutnya telah menubuhkan sebuah kumpulan tarian dan lakonan untuk menyara keperluan hidup.

Kumpulan tarian dan lakonan inilah yang dinamakan menora. Kebanyakan cerita yang dipersembahkan oleh kumpulan menora adalah berunsurkan khayalan yang melibatkan dewa-dewa dan kayangan. 

Lama kelamaan, persembahan menora telah mendapat sambutan dan diminati oleh rakyat di Phattalung. Kumpulan menora Puteri Srimala menjadi sangat terkenal dan akhirnya dijemput untuk mengadakan persembahan di istana.

Oleh kerana telah membohongi Raja Phattalung, Hohra berasa malu dan berusaha untuk membunuh Puteri Srimala dengan berbagai cara.

Keadaan ini telah menarik perhatian dari dewa-dewa yang berada di kayangan dan mereka bertindak mengirim petir untuk membunuh Hohra dan pengikut-pengikutnya sebelum niat mereka untuk membunuh Puteri Srimala berjaya dilaksanakan.

Hal ini menyebabkan Puteri Srimala telah dapat kembali hidup di istana dengan aman dan sempurna bersama keluarganya.

Puteri Srimala terus menubuhkan lebih banyak kumpulan menora dan diminati segenap lapisan rakyat.

No comments:

Post a Comment