Wednesday 13 October 2021

SEJARAH JAMBATAN SULTAN YAHYA PETRA

 
Kawasan fizikal tanah negeri Kelantan dibahagikan dua kawasan oleh Sungai Kelantan. Jajahan Kota Bharu, Bachok, Machang, Kuala Krai dan Pasir Putih di sebelah timur Sungai Kelantan, manakala Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli di sebelah barat.

Maka, untuk menghubungkan kedua-dua bahagian ini, jambatan perlu dibina. Jambatan yang merentangi Sungai Kelantan ialah Jambatan Sultan Yahya Petra, Jambatan Salor, Jambatan Sultan Ismail Petra dan Jambatan Tanah Merah.

Jambatan pertama dibina merentangi Sungai Kelantan ialah Jambatan Sultan Yahya Petra. Jambatan ini mula dibina pada tahun 1962 dan siap pada 1965.

Jambatan Sultan Yahya Petra dibina dengan kos sebanyak RM5 juta dan telah dirasmikan pada 17 April 1965 oleh Almarhum Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim, Sultan Kelantan pada ketika itu.

Turut hadir di upacara ini ialah Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein; Menteri Pengangkutan, Datuk Sardon Hj. Jubir; Menteri Kerja Raya, Pos dan Talikom Datuk Sambanthan.

Jambatan Sultan Yahya Petra memberi kemudahan kepada penduduk di kedua-dua kawasan barat dan timur untuk bergerak, terutama penduduk dari Kota Bharu untuk ke Tumpat, yang sebelum itu menggunakan perkhidmatan feri dan bot.

Sebelum adanya jambatan ini, penduduk terpaksa menaiki feri di Pasir Mas Salor untuk ke Pasir Mas, Tumpat dan Rantau Panjang.

Pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra mencatakan sejarah bukan sahaja kepada negeri Kelantan, bahkan Malaysia amnya. Ini kerana Jambatan Sultan Yahya Petra sepanjang 908.3 meter dan lebar 24.3 meter itu merupakan jambatan terpanjang di Asia Tenggara pada ketika itu.

Jambatan Sultan Yahya Petra merupakan jambatan bertol pertama seumpamanya di Malaysia. Malah boleh dianggap sebagai laluan awam pertama dikenakan bayaran tol di Malaysia.

Bagaimanapun, pada awal pagi 9 Julai 1978, penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) telah memusnahkan rumah tol di atas jambatan tersebut setelah BN berjaya memenangi pilihan raya negeri. Semenjak itu, kutikan tol telah dihentikan seiring dengan janji BN Kelantan dalam pilihanraya itu.

Pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra dilakukan oleh syarikat Kien Huat Private Limited, milik keluarga Lim Goh Tong.

Pada tahun 2007, Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra (terletak di kiri dan kanan jambatan pertama) telah dibina dengan pembiayaan sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan. Pembinaan yang menelan belanja sebanyak RM184.4 juta itu telah dibuka sepenuhnya pada bulan Oktober 2013.

Gambar-gambar hari perasmian Jambatan Sultan Yahya Petra pada 17 April 1965


 
 

No comments:

Post a Comment