Monday 18 October 2021

UBI ITIK BANYAK DI KELANTAN

Di Malaysia memang kaya dengan kepelbagaian jenis ubi, kadang-kadang ada yang tidak pernah dengar namanya. Biasa yang kita lihat ialah ubi kayu dan ubi keledek. 
 
Namun, bagi penduduk di kawasan pantai timur, nama ubi itik memang tidak asing lagi. 
 
Ubi itik tidak sama dengan ubi torak, biarpun ada sedikit persamaan. Bentuk ubi itik seakan kaki itik. Dari tangkai ia akan berkembang membentuk seperti kaki itik. Manakala ubi torak bentukya seakan buah binjai. 
 
Ubi ini rasanya manis dan tekstur gembur. Jadi, ia sesuai untuk direbus dan dibuat pengat. 
 
Namun, dalam kes tertentu, rasanya sedikit rasa pahit dan isinya juga sedikit berurat. Ia biasanya berlaku kepada ubi yang terbantut tumbesarannya. Ubi dalam kategori ini sukar menjadi empuk apabila direbus. 
 
Pokok ini hidup menjalar dan memerlukan kayu pancang untuk menjalar. Daun seakan daun sirih dan mempunyai batang yang berduri. 
 
Tanaman ubi itik ini dipercayai mengambil masa selama 6 bulan bagi mendapatkan hasilnya dan yang menariknya ubi itik ini mempunyai musim menanam dan musim menuainya yang tersendiri. 
 
Namun, di Kelantan ubi itik dan juga jenis-jenis ubi lain biasanya dituai pada musim tengkujuh. Ini kerana untuk mengelak ubi menjadi carak atau rosak jika terendam lama di dalam air. 
 
Tambahan pula, pada musim tengkujuh permintaan terhadap pelbagai jenis ubi, termasuk ubi itik agak tinggi.

No comments:

Post a Comment