Wednesday, 25 December 2019

MEMAAFKAN LEBIH MULIA DARIPADA MEMBALAS KEJAHATAN

Memang orang dizalimi berhak membalas balik perbuatan itu, namun lebih baik jika memberi kemaafkan. Tindakan tidak membalas balik akan mengelak diri daripada melakukan kezaliman jika membalas balik itu melebihi apa yang sepatutnya.   

Firman Allah yang bermaksud: "Dan bagi orang yang dizalimi mereka akan membela diri. Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang sama.  Maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya adalah tanggungan Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim." (Surah asy-Syura, ayat 39-40)     

Melakukan kebaikan kepada seseorang tidak seharusnya terhenti disebabkan satu kesilapan yang dilakukan olehnya. Terdapat banyak kes keretakan hubungan keluarga, sahabat dan rakan sekerja terputus semata-mata disebabkan satu kesalahan kecil. Mereka tidak mahu saling memaafkan dan membiarkan keadaan tidak diselesaikan dengan baik. 

Mereka yang tidak mahu memaafkan dan suka beradu kekuatan boleh disamakan seperti haiwan. Sifat haiwan tidak mahu mengaku kalah untuk mendapat apa yang diingini tanpa belas kasihan kepada lawannya. Alangkah hinanya manusia bersifat seperti haiwan.

Perasaan dendam dan curiga yang terus menguasai diri mudah bertukar menjadi tindakan lebih buruk jika tercetusnya percikap api kemarahan lain. Syaitan akan sentiasa memainkan peranan untuk menimbulkan suasana lebih buruk. Godaan syaitan sukar ditepis jika iman lemah. 

Syaitan pernah memberitahu Nabi Musa bagaimana dia mendekati manusia agar melakukan perbuatan dilarang agama dengan katanya: "Tiga perempat daripada masa yang paling baik untuk aku menggoda manusia ialah sewaktu mereka di dalam keadaan marah, kerana pada masa itu aku boleh memain-mainkan hati mereka seperti sebiji bola."

Sebab itu Islam menganjurkan agar saling memaafkan. Melaluinya akan mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat.  Hidup tanpa marah dan dendam adalah nikmat kebebasan hidup yang sebenar.

Marilah bermuhasabah diri dalam menyelesaikan perkara mudah yang amat penting ini. Dianggap perkara mudah kerana ia berada dalam diri kita sendiri. Kita menentukan sendiri sifat pemaaf atau sifat pedendam yang ingin disimpan di dalam hati. Jadilah insan yang di dalam hatinya penuh dengan bungaan kemaafan yang sentiasa segar. 

No comments:

Post a Comment