Friday 27 August 2021

KHASIAT PATAWALI AKAR SERUNTUN

Pokok patawali atau dikenali juga dengan nama akar seruntun dan akar patawali. Nama saintifiknya Tinospora crispa dari famili Menispermaceae merupakan tanaman menjalar berbatang berkerutu dan berdaun lebar seperti daun sirih.

Biasanya banyak didapati tumbuh menjalar di pagar-pagar dan kawasan rumah terbiar di kampung. Ia juga tumbuh liar di pinggir hutan.

Pokok patawali tumbuh subur di tempat bersuhu panas, perdunya memanjat dengan batangnya sebesar jari kelingking, berbintil-bintil rapat dan boleh mencapai ketinggian sehingga 2.5 meter.

Pokok patawali dibiakkan menggunakan keratan batang. Ia dikategorikan sebagai pokok herba kerana ianya banyak digunakan dalam perubatan tradisional masyarakat Melayu.

Air rebusan keseluruhan tumbuhan ini terasa sangat pahit dan dijadikan sebagai ubat reumatik yang dikatakan mampu mengurangi gula dalam darah, menurunkan suhu panas badan dan membantu mengurangi gejala kencing manis.

Masyarakat Melayu dahulu juga percaya dengan pengambilan air rebusan patawali dapat menghindar dari gigitan nyamuk. Rasanya yang pahit ini juga apabila disapu pada payudara ibu, akan memudahkan bayi bercerai susu.

Tanaman ini kaya dengan kandungan kimia antara lain alkaloid (berberina dan kolumbina yang terkandung di akar dan batang, damar lunak, pati, glikosida pikroretosid, zat pahit pikroretin, hars, berberin, palmatin, kolumbin (akar), kokulin (pikrotoksin).

Batangnya yang pahit itu mempunyai kandungan air yang tinggi. Tumbuhan ini biasa dijadikan bahan yang dicampur dalam minyak urut oleh tukang urut tradisional.

Bunganya berwarna hijau muda yang mempunyai enam mahkota yang berupa tunas. Bunganya kemudian akan berubah warna menjadi merah dan putih apabila matang. Buahnya pula berwarna merah muda, kulit batangnya mengandungi alkaloid dan damar manakala akarnya mengandungi berberin dan kolumbin.

Bagi tujuan perubatan, batangnya yang menggerutu adalah bahagian utama yang mengandungi khasiat. Batang patawali digunakan untuk merawat sakit perut, demam, tekanan darah tinngi, kencing manis dan juga penyakit kelamin dikenali sebagai gonorea.

Tumbuhan ini mujarab bagi mengatasi masalah cacing di kalangan kanak-kanak dengan cara merebus batangnya, ditapis dan diminum segelas sehari.

Air rebusan juga boleh digunakan untuk membersihkan darah, dan mujarab untuk membunuh kuman dan menyembuhkan luka.

Kajian saintifik yang dijalankan ke atas patawali menunjukkan tumbuhan itu mengandungi sejenis bahan yang dipanggil jattrorrhizine yang dikatakan mujarab untuk menjauhkan penyakit demam malaria.

Selain daripada itu ia juga dapat menurunkan tekanan darah tinggi dan meningkatkan selera makan.

Pikroretin yang terdapat di dalamnya dapat menurunkan suhu panas badan (mengubat demam).

Air rebusan ini juga dapat mengubat sakit pinggang dan sengal-sengal (boleh dicampur dalam minyak urut).

Air rebusan ini juga boleh digunakan untuk membasuh kudis-kudis setelah dicampur dengan sedikit belerang.

Kajian saintifik menunjukkan hasil ekstrak rebusan tumbuhan herba akan mengandungi pelbagai bahan termasuk bahan aktif yang akan menghasilkan pelbagai kesan perubatan.

Namun dari kajian yang dijalankan juga dipercayai terdapat bahan yang merbahaya atau toksik. Pengambilan air rebusan patawali dalam jangka masa yang panjang dan berlebihan boleh menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang.

Oleh itu dalam apa jua keadaan, pengambilan ekstrak dari sebarang tumbuhan, perlulah mendapatkan pandangan dari pakar perubatan atau pharmasuetikal terlebih dahulu terutama cara pengambilan, kaedah, had dan tempoh pengambilannya agar ianya benar-benar menjadi penyembuh dan bukan pembunuh.

 

1 comment: