Sunday 22 August 2021

SEBAB ISLAM HARAMKAN ARAK

 
Hakikatnya, arak bukan perkara yang mendatangkan kebaikan, kecuali dalam beberapa situasi. Namun perkara itu tidak seharusnya dijadikan alasan kepada pengambilan arak kerana kesan buruknya lebih besar. 
 
Perkara ini dijelaskan Allah SWT melalui firman yang bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu khamar (arak) dan judi. Katakanlah pada keduanya dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia. Tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya." (Surah Baqarah ayat 219)
 
Arak sejenis minuman kegemaran bangsa Arab Jahiliah. Jadi, sahabat yang telah memeluk Islam terus minum arak. Ketika itu arak belum dihukumkan sebagai haram.
 
Pernah terjadi satu peristiwa ketika Abdul Rahman bin Auf mengadakan kenduri dan mengundang sahabat termasuk Saidina Ali bin Abi Talib. Semua tetamu dihidangkan arak, minuman utama tetamu pada majlis rasmi.
 
Apabila masuk Maghrib, Saidina Ali mengimamkan solat dan membaca surah al-Kafirun, ayat 1 hingga 3 dalam keadaan mabuk, sehingga mengubah makna ayat itu menjadi seperti berikut: "Katakan wahai orang kafir, aku akan menyembah apa yang kamu sembah dan kami sudah pun menyembah apa yang kamu sembah."
 
Begitu juga kisah seorang lelaki Ansar bernama Utban bin Malik yang mengadakan jamuan dihadiri kaum Ansar dan Muhajirin. Jamuan menghidangkan arak sebagai minuman itu menyebabkan seorang lelaki Muhajirin, Saad bin Abi Waqas mabuk sambil bersyair memuji kaumnya dan menghina serta mencaci kaum Ansar. Mendengar cacian itu, seorang lelaki Ansar terus memukulnya sehingga berdarah dan seterusnya menyebabkan huru-hara.
 
Peristiwa itu membawa kepada turunnya ayat al-Quran yang bermaksud: ”Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil." (Surah al-Maidah, ayat 91)
 
Sesungguhnya meminum arak daripada pada amalan syaitan yang mana sudah pasti tidak memberi apa-apa kebaikan, melainkan bertujuan untuk mendatangkan kebaikan.
 
Syaitan akan menggunakan pelbagai cara untuk merosakkan manusia, termasuklah perbuatan meminum arak. Sesiapa ingin mencapai kejayaan dalam hidup hendaklah meninggalkan perbuaan disuruh oleh syaitan.
 
Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai orang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah adalah semata-mata kotor (keji) daripada perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah ayat 90)
 
Bagai tidak dapat diterima adanya sebilangan umat Islam yang tidak segan silu meminum minuman keras dan menjadikannya hidangan biasa. Sudah dirakamkan Allah SWT bahawa arak adalah kotor dan keji serta perbuatan syaitan, malah ia disamakan dengan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib.
 
Umat Islam juga dilaknat Allah SWT jika memerah anggur untuk dijadikan arak, minta diperahkan, meminumnya, membawanya, minta dibawakan kepadanya, menuangnya, menjualnya, menggunakan wang jualannya, membelinya dan meminta dibelikan arak walaupun kepada bukan Muslim.
 
Ketegasan hukum digariskan jelas menunjukkan bahawa apa saja berkaitan arak adalah dilaknat Allah SWT dan mempunyai sebab serta akibat yang tidak bagus.
 
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Daripada Annas bin Malik katanya: Bahawasanya Rasulullah SAW melaknat sepuluh golongan berkaitan dengan arak iaitu yang memerahnya, minta diperahkan, meminumnya, membawanya dan minta dibawa kepadanya, menuangkannya, menjualnya, makan harganya, membelinya dan minta dibelikan." (Hadis riwayat At-Tirmidzi dan Ibn Majah)
 
Arak berbahaya kepada akidah umat Islam apabila Allah SWT menyamakan dengan pemujaan berhala dan mengundi nasib sebagai perbuatan syaitan.
 
Sesungguhnya perbuatan syaitan adalah menyekutukan Allah dan menyebabkan kekufuran, sama sekali tidak dapat diterima dalam agama.
 
Arak memesongkan hamba Allah SWT daripada mengingati-Nya kerana ia membuatkan seseorang Muslim itu meninggalkan sembahyang dan puasa serta ibadah lainnya kerana mabuk. 
 
Arak juga meruntuhkan akhlak, menimbulkan permusuhan dan kebencian, memusnahkan institusi kekeluargaan. 
 
Air perahan buah anggur dijadikan bahan membuat arak dengan cara memeram dalam tempoh masa tertentu. 

No comments:

Post a Comment