Wednesday, 21 December 2022

JAUHI SIKAP SOMBONG, KITA MEMANG LEMAH

 
Manusia memiliki sifat lemah. Biarpun nampak hebat dan mengaku hebat, hakikatnya manusia amat lemah. Perkara ini dinyatakan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.” - (Surah an-Nisa, ayat 28).
 
Jika yang mencipta kita telah mengatakan kita ini lemah, apa lagi yang hendak kita katakan. Terimalah hakikat itu. Jangan sombong dan berasa hebat sangat sehingga melakukan perkara ditegah.
 
Allah SWT sedia mengetahui kelemahan para hamba-Nya. Justeru itu banyak hukum hakam agama yang diberikn keringanan dalam situasi tertentu. Contohnya, orang yang bermusafir dibolehkn jamak dan qasar solat.  
 
Memang, dalam perbandingan antara sesama manusia, setiap individu memiliki kekuatan dan kelemahan masing-masing. Justeru kita saling memerlukan satu sama lain untuk melengkapkan kekurangan yang ada.
 
Kekuatan itu perlu digunakan untuk kebaikan. Membantu yang lemah dan kekurangan. Bukan bertindak untuk saling menjatuhkan satu sama lain.
 
Janganlah terlalu angkuh. Jika ada kelemahan diri, terimalah hakikat itu dengan reda. Jadikan ia sebagai cabaran untuk memperbaikinya. Sebaliknya, jangan salahkan pihak lain yang kononnya menjadi kita lemah atau kalah.
 
Apatah lagi mengamalkan sikap seperti “kuman di seberang laut nampak, tapi gajah di depan mata tak nampak." Sibuk mencari dan mendedahkan aib individu atau pihak lain, seolah-olah diri sendiri betul dan benar sepanjang masa tanpa sebarang aib.
 
Sikap suka mengaibkan sesama orang Islam ini amat dilarang. 
 
Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” – (Surah An-Nur, ayat 19)
 

No comments:

Post a Comment