Wednesday, 28 December 2022

KESAN BURUK MEMBENCI PEMBERI NASIHAT

 
Para Nabi dan Rasul menyampaikan seruan dakwah yang terkandung dalamnya nasihat dan peringatan. Tugas itu diteruskan oleh ulama dan orang yang beriman. Mereka selalu menasihati perkara kebaikan dan mencegah daripada kejahatan.
 
Namun, ada individu dan kelompok manusia yang tidak suka kepada kebaikan, bahkan tidak suka kepada orang yang memberi nasihat. Hal ini bukan perkara baharu, bahkan telah berlaku sejak dahulu.
 
Firman Allah SWT bermaksud: Kemudian dia (Nabi Soleh) pun meninggalkan mereka sambil berkata: "Wahai kaumku! Aku telah menyampaikan kepada kamu perutusan Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang-orang yang memberi nasihat". (Surah al-Araf, ayat 79)
 
Sedangkan agama itu adalah nasihat. Memberi panduan dan membantu manusia ke arah kebaikan. Malang sekali manusia menjadi angkuh apabila beroleh kehebatan, kekuasaan dan kekayaan sehingga lupa pada Allah SWT.
 
Penduduk Madyan dibinasakan setelah mereka enggan menerima dan mendengar nasihat daripada Nabi Syuaib lantaran mereka membenci Nabi Syuaib yang menegur jenayah mereka dalam urusan muamalat.
 
Amatlah rugi jika kita berdegil tidak mahu mengikut seruan melakukan perkara kebaikan. Sedangkan kita sebenarnya hanya hidup sementara di dunia ini dan akan kembali kepada-Nya untuk kehidupan kekal di akhirat.
 
Jika Allah SWT mahu menyesatkan seseorang atas kedegilannya, sebarang nasihat yang disampaikan seperti "mencurahkan air ke daun keladi".
 
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan tidak ada gunanya nasihatku kepada kamu, jika aku hendak menasihati kamu, kalau Allah hendak menyesatkan kamu (kerana kamu tetap berdegil); Dia lah Tuhan kamu dan kepadaNya kamu akan kembali". – (Surah Hud, ayat 34)
 
Umat-umat terdahulu menjadi sesat kerana sikap taksub mereka kepada kepercayaan batil dan bertindak tidak mahu mendengar nasihat dari Nabi mereka. Ini juga yang berlaku sekarang, menzalimi diri sendiri dengan menutup peluang untuk mendengar nasihat pihak lain.
 
Gambar Masjid Kubang Batang - kredit pemilik asal gambar
 

No comments:

Post a Comment