Wednesday 7 February 2024

KEJATUHAN NILAI RINGGIT SEBABKAN LONJAKAN INFLASI

 
Kedudukan ringgit yang semakin menjunam berbanding dolar Amerika Syarikat (AS$) banyak berpunca daripada faktor luaran dan bukannya disebabkan asas ekonomi negara sendiri, terutamanya ketika konflik di Asia Barat yang belum reda.
 
Ketidakpastian ini telah menyebabkan nilai mata wang asing serantau, termasuk ringgit terjejas apabila pelabur pastinya ber­alih kepada mata wang yang dianggap selamat seperti AS$ dan yen.
 
Kenaikan harga komoditi yang tidak terkawal di peringkat antarabangsa menyukarkan perniagaan untuk merancang dan melabur. Ini menjejaskan potensi pertumbuhan dan prospek negara dan ia merupakan sesuatu yang kta mahu elakkan.
 
Ringgit dinilai rendah, dipengaruhi oleh perkembangan luaran dan tidak memberikan gambaran yang tepat tentang asas-asas ekonomi Malaysia. Malaysia adalah ekonomi yang kecil dan terbuka dan apa yang berlaku di dunia memberi kesan kepada negara tetapi selama beberapa dekad, ekonomi kita telah berubah, dipelbagaikan daripada segi struktur ekonomi dan rakan dagang.
 
Ini bermakna kita tidak boleh terlalu bergantung kepada satu produk eksport sahaja atau rakan dagang tertentu.
 
Rakyat digalakkan untuk membeli barang tempatan kerana dapat mengaktifkan sektor yang berkaitan dan pada masa sama dapat mengelak pengaliran wang keluar yang antara lain akan menyebabkan nilai mata wang RM akan terus jatuh.
 
Selain membeli produk tempatan, ketika nilai mata wang RM jatuh, aktiviti melancong ke luar negara juga perlu dikurangkan. Melancong ketika ringgit jatuh bermakana perlu membayar lebih banyak dan meningkatkan pengaliran wang ke luar negara. Melanconglah di dalam negara untuk membantu meningkatkan akvititi pelancongan domestik.
 
Melangkah ke hadapan, limpahan positif dengan prospek pertumbuhan ekonomi domestik yang sihat akan memberikan sokongan kepada ringgit.
 
Kejatuhan nilai ringgit berbanding mata wang asing dikhuatiri mampu mencetuskan lonjakan inflasi dalam negara, terutamanya melibatkan kenaikan harga barangan makanan.
 
Impak yang paling dibimbangi daripada kejatuhan nilai ringgit pastinya adalah risiko kenaikan inflasi makanan, memandangkan Malaysia banyak mengimport barangan tersebut.
 
Bukan semua barangan makanan disediakan subsidi oleh kerajaan dan sekiranya ini berlaku, yang paling terjejas tentu­nya kumpulan yang berpendapatan rendah.
 
Inflasi yang menjadi kadar perubahan harga barangan jika meningkat akan merosotkan nilai wang kerana kita perlu membayar lebih untuk barangan dan perkhidmatan sama.
 
Dari semasa ke semasa, inflasi meningkatkan kos sara hidup dan mengurangkan kuasa beli pengguna. Jika pendapatan seseorang tidak meningkat pada kadar sama atau lebih tinggi daripada peningkatan inflasi, maka inflasi pasti akan menjejaskan kehidupan mereka dan ekonomi negara.
 
Justeru, dalam keadaan inflasi berterusan, adalah wajar bagi seseorang itu mempertimbangkan untuk melabur sebahagian wang simpanan supaya mendapat pulangan sekurang-kurangnya sama atau lebih tinggi daripada kadar inflasi.
 
Antara cara melindungi diri daripada kesan negatif kenaikan inflasi adalah dengan memegang aset yang dianggap pelindung nilai. Aset ini biasanya bergerak bertentangan dengan pasaran atau tidak tertakluk kepada turun naik pasaran mendadak.
 
Ia berpotensi membantu meminimumkan kerugian jika pasaran mengalami perubahan besar dan tidak menentu seperti kenaikan kadar inflasi. Contoh aset pelindung nilai adalah emas dan logam berharga lain.
 
Selain itu, antara cara melawan inflasi adalah dengan melabur di pasaran saham. Kenaikan harga saham syarikat mungkin berlaku sekiranya ia berjaya menyesuaikan operasi kepada kos lebih tinggi dalam rantaian bekalan atau proses pengeluaran.
 
Namun, perlu berhati-hati dalam membeli atau menjual saham semasa tempoh inflasi tinggi kerana pelaburan saham adalah tertakluk kepada turun naik dan perubahan harga mendadak.
 
Aset seperti hartanah atau amanah pelaburan hartanah juga dianggap antara cara melindung nilai portfolio pelaburan terhadap inflasi memandangkan ia biasanya mempunyai sedikit korelasi dengan saham dan bon.
 
Nilai hartanah dan sewa dikenakan akan meningkat apabila inflasi meningkat. Kenaikan pendapatan seiring dengan kenaikan inflasi membantu mengimbangi risiko inflasi.
 
Justeru, perlu diingatkan tidak ada satu cara sama untuk semua orang melindungi diri daripada kesan kenaikan kadar inflasi. Ia terpulang kepada pengalaman dan tindakan seseorang terhadap kenaikan inflasi sangat bergantung kepada ilmu serta pengalaman mereka.
 
Inflasi yang tinggi boleh menyukarkan kehidupan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah serta ia boleh menjejaskan ekonomi.
 
Inflasi yang tinggi menjejaskan kuasa beli bermakna apa yang anda boleh beli dengan RM100 sekarang, nilainya mungkin akan lebih rendah pada masa depan.

No comments:

Post a Comment