Sambutan hari raya ini oleh umat Islam di seluruh dunia mempunyai
falsafahnya tersendiri. Hari raya adalah kurniaan Allah kepada orang Islam
Ansar menggantikan amalan hari perayaan jahiliah sebelum kedatangan Islam di
Madinah.
Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas dalam hadis
yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu yang lebih baik
daripada keduanya iaitu Aidiladha dan Aidilfitri.”
Ibn Taimiyah juga menyebut perayaan ini adalah suatu ‘syariat’
seperti ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Bagi tiap-tiap umat yang
ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama atau
ibadat (yang wajib diikuti oleh masing-masing).” (Surah Al Maidah, ayat 48)
Oleh itu, perayaan yang diraikan umat Islam bukan semata-mata
aktiviti sosial tetapi adalah satu ibadat yang dituntut dalam agama.
Garis panduan merayakan Aidilfitri dan Aidiladha ada persamaan dan
perbezaan. Jika pada Aidilfitri kita dilarang berpuasa pada hari raya pertama,
pada sambutan Aidiladha dilarang berpuasa selama empat hari.
Bertakbir hanya sehari di Aidilfitri tetapi dituntut bertakbir
selama empat hari berturut-turut di Aidiladha, disunatkan mengerjakan solat
sunat hari raya, diwajibkan membayar zakat fitrah pada Aidilfitri tetapi
disunatkan melakukan ibadat korban sebagai tanda ketakwaan dan keimanan
terhadap Allah selepas solat sunat Aidiladha.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiada amal anak Adam yang
lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya
binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan
tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum
darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan
reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)
Dapat difahami bahawa apa yang dituntut daripada ibadat korban
ialah keredaan dan lapang dada kita untuk melakukan ibadat itu, bukan terpaksa,
terikut-ikut atau untuk menunjuk-nunjuk. Apa yang akan sampai kepada Allah bukan
daging, atau binatang korban tetapi ketakwaan yang mendorong kita melakukan
ibadat korban.
Allah berfirman yang bermaksud: “Daging dan darah binatang korban
itu tidak sekali-kali sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah
ketakwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagi kamu, supaya kamu
mengagungkan Allah atas apa yang Dia beri petunjuk kepada kamu. Dan
sampaikanlah berita gembira kepada orang yang melakukan kebaikan.” (Surah
Al-Haj, ayat 37)
Perayaan Aidiladha berlangsung selama empat hari dari 10 Zulhijah
hingga 14 Zulhijah. Selama empat hari itu disunatkan berkorban dan daging
korban akan diagih-agihkan kepada mereka yang miskin sebagai satu cara
penyucian jiwa bagi mereka yang kaya.
Kita juga sewajarnya menziarahi sanak-saudara dan keluarga
terdekat serta kenalan untuk menguatkan ikatan persaudaraan sempena menyambut
Aidiladha. Kegembiraan meraikan hari raya amat digalakkan dalam mentauhidkan
Allah.
Ibadat korban mencerminkan dua perkara. Pertama, ia adalah wasilah
atau perantaraan bagi mengeratkan hubungan sesama anggota keluarga dan
masyarakat. Kedua, ibadat korban mencerminkan sifat keihsanan yang sangat
dianjurkan Islam.
Tetapi apa yang berlaku di tanah air kita ialah semakin ramai menjadi
kurang prihatin dan memahami tujuan sebenar sambutan hari raya seperti yang
disarankan agama. Pada pertengahan Ramadan sudah berkumandang lagu raya
seolah-olah kita lupa sebenarnya ibadat berpuasa menuntut pengorbanan nafsu
yang tinggi.
Media elektronik berlumba-lumba meraih penonton dengan
menghidangkan pelbagai rancangan hiburan, hinggakan semakin ramai terpaku di
hadapan televisyen dan amalan untuk menziarahi sanak saudara serta sahabat
handai makin dilupakan.
Cuti umum Aidiladha pula dianggap seperti hari cuti biasa,
diisikan dengan tidur atau membasuh kereta. Mungkin ramai beranggapan Aidiladha
khusus bagi mereka yang sedang menunaikan haji di Makkah menyebabkan ramai yang
tidak berapa mengambil peduli untuk meraikan Aidiladha.
Sudah sampai masanya kita kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah
untuk menyambut hari raya supaya pengisian yang dilakukan mendapat keredaan
Allah. Wang untuk membeli pakaian baru adalah lebih baik digunakan untuk
melaksanakan ibadat korban.
Kemungkinan kita boleh meraikan Aidiladha tahun ini dengan
mengorbankan seekor lembu yang dikongsi bersama ahli keluarga, kemudian daging
korban diberikan kepada orang miskin atau komuniti orang asli supaya dapat
merasai nikmat keimanan serta penghayatan Aidiladha.
Firman Allah yang bermaksud: “Ceritakanlah kepada mereka kisah
kedua-dua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya ketika mereka
mempersembahkan korban maka diterima daripada salah seorang daripada mereka
berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil):
Aku pasti membunuhmu! Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima korban
daripada orang yang bertakwa.” (Surah al-Maidah, ayat 27)
Umat Islam mesti mengagungkan dan membesarkan hari perayaan agama
mengikut konsep yang sebenarnya. Kita perlu mengetahui tujuan sebenar atau
cerita di sebalik sambutan hari raya supaya mendapat rahmat daripada Allah.
No comments:
Post a Comment