Ia
merupakan amalan tradisi para nabi sejak Adam hingga Nabi Muhammad SAW. Baginda
Rasulullah sendiri dalam sebuah hadis telah mengungkapkan, orang-orang yang
tidak melaksanakan ibadah korban sedangkan dia berada dalam keadaan mampu, maka
jangan dekat kepada kami yang melaksanakan ibadah ini.
Dalam
satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah dari Zaid bin Arqam,
pernah seorang sahabat bertanya kepada baginda:
‘‘Wahai
Rasulullah, apakah erti korban ini?” ujar sahabat. ‘‘Itulah sunah daripada
nenekmu Ibrahim,” jawab Rasulullah. ‘‘Apakah keuntungan korban itu untuk kita?”
tanya sahabat lagi. ‘Tiap-tiap bulunya merupakan satu kebaikan (hasanah),”
jawab Rasulullah.
Menurut
Syafi hukum korban adalah sunat muakad yang sangat dituntut kepada mereka yang
mampu termasuk para hujjaj (jemaah haji) yang berada di Mina dan terutama umat
Islam yang berada di kampung halamannya sendiri, kerana ia amalan yang sangat
dikasihi Allah pada hari nahar (Hari Raya).
Di
dalam al-Quran disebut tentang pengorbanan dua orang anak Adam. Anak pertama
memberi korban dengan tulus ikhlas atas dasar niat untuk mematuhi perintah
Allah SWT dan mendekatkan diri kepadaNya. Sementara anak yang lain juga
berkorban tetapi tidak berdasarkan ketulusan hati dan usaha sungguh-sungguh
untuk mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu korban anak yang pertama diterima
di sisi Allah manakala anak kedua tidak diterima oleh Allah.
Allah
berfirman dalam surah Al- Maidah ayat 27 yang bermaksud: Dan bacakanlah (wahai
Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Haabil dan
Qaabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua
mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada
Allah). Lalu diterima korban salah seorang antaranya (Haabil), dan tidak
diterima (korban) dari yang lain (Qaabil). Berkata (Qaabil): “Sesungguhnya aku
akan membunuhmu.” (Haabil) menjawab: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari
orang-orang yang bertakwa.”
Amalan
berkorban bertindak mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah dan mendekatkan
hubungan antara manusia dengan Allah ini dikenali sebagai amaliah yang bersifat
vertikal.
Sementara
amaliah yang bersifat horizontal pula, ibadah penyembelihan korban meningkatkan
hubungan antara manusia dengan manusia melalui pembahagian daging-daging korban
terutama kepada golongan fakir dan miskin. Ini sebagai petunjuk bahawa takwa
yang bersifat personal dan vertikal (hubungan hamba dengan Tuhannya) sering
tidak terpisah dengan hubungan hamba itu dan persekitarannya.
Justeru,
amal sosial seperti korban harus didasarkan kepada Allah. Melalui ibadah korban
inilah terselit maknawi yang mendalam bahawa manusia memerlukan pengorbanan
dalam menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Korban
disyariatkan bagi mengingatkan manusia bahawa jalan menuju kebahagiaan
memerlukan pengorbanan. Akan tetapi yang dikorban bukan manusia, bukan pula
nilai-nilai kemanusiaan tetapi binatang sebagai petanda bahawa pengorbanan
harus ditunaikan dan bahawa yang dikorbankan adalah sifat-sifat kebinatangan
dalam diri manusia seperti sifat rakus, tamak, ego, mengabaikan norma, nilai
dan sebagainya.
Secara
hurufiahnya, kesempurnaan ibadah korban ini bermaksud membunuh segala sifat
kebinatangan yang terdapat dalam diri manusia.
Berpandukan
daripada kisah Haabil dan Qaabil tentang korban yang diterima oleh Allah, jelas
menunjukkan bahawa keikhlasan itu adalah satu sifat yang paling utama dalam
ibadah.
Amalan
berkorban harus menggunakan haiwan yang baik dan tinggi kualitinya, tidak
cacat, cukup umur serta banyak dagingnya. Meskipun, hal-hal berkaitan ‘darah’
atau daging itu tidak sampai kepada Allah, tetapi yang lebih penting adalah
ketakwaan kepada Allah. Korban itu tidak memberi erti sama sekali untuk Allah
kerana Ia adalah Allah, yang Maha Agung, yang tidak memerlukan.
Dengan
korban tersebut diharapkan agar takwa kita kepada Allah semakin meningkat dan
bahawa kita adalah hamba-Nya yang sentiasa memerlukan bimbingan-Nya. Oleh hal
yang demikian, kunci kepada semua amalan baik amalan sosial mahupun yang
bersifat individual ialah takwa.
Bila
pengorbanan binatang ternak sebagai ritual keagamaan dilakukan pada hari-hari
tertentu pada bulan korban, maka segala bentuk pengorbanan yang dilakukan oleh
umat Islam pada hari-hari yang lain juga dapat disebut pengorbanan bila
disertai oleh sikap takwa kepada Allah. Sikap itulah yang akan membezakan dari
pengorbanan lain yang dilakukan demi kekasih, demi keluarga dan bangsa yang
belum tentu diredai oleh Allah.
Berdasarkan
keterangan hadis dan firman Allah yang diungkapkan dalam al-Quran, dapat
disimpulkan bahawa amalan korban berasal daripada Nabi Ibrahim yang kemudiannya
diwarisi oleh baginda sebagai satu ibadah dalam syariat Islam yang sangat
dianjurkan untuk dilaksanakan. Ibadah korban ini berasal dari zaman Nabi
Ibrahim.
Tatkala
Nabi Ibrahim bersama puteranya Ismail selesai membina Kaabah di Mekah di atas
arahan Allah sebagai pusat kegiatan bagi menegakkan dasar-dasar tauhid, Allah
menguji kekuatan iman kedua-dua nabi ini. Pengorbanan itu adalah pengorbanan
yang paling tinggi dalam hidup iaitu pengorbanan jiwa dan raga.
No comments:
Post a Comment