Monday 30 July 2018

Kejayaan Dasar Ekonomi Baharu

Semenjak tahun 1971 hingga 1990, kita telah melalui Dasar Ekonomi Baru atau DEB, dipelopori oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, yang mengutamakan pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Di mana ketika itu, untuk mencapai sasaran sosio ekonomi yang lebih saksama, sebagai satu cara mewujudkan keharmonian dan perpaduan dalam negara, yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik dan agama.

Kemudian, bermula 1991, sampai kepada tahun 2000, diperkenalkan pula, oleh Tun Dr. Mahathir, Dasar Pembangunan Nasional yang berfokuskan pembangunan seimbang dan membawa kepada lahirnya Wawasan 2020.

Dasar Wawasan Negara dilaksanakan, melewati tahun 2001 hingga 2010. Dasar ini memberi penekanan kepada pembangunan masyarakat berasaskan pengetahuan dan mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu, progresif lagi makmur.

Jadinya, jika dihimbau semenjak 5 dekad lalu, melalui 10 rancangan Malaysia, Kerajaan Barisan Nasional telah menempa dan mencipta pelbagai ceritera kejayaan yang dapat diperbanggakan.

Adalah tidak benar, jika sesetengah pihak menuduh kononnya, dasar Kerajaan hari ini terpisah daripada dasar-dasar yang sebelumnya.

Antara 10 pencapaian dan kisah yang boleh diperbanggakan sepanjang sepuluh Rancangan Malaysia yang lalu. Pertamanya, pada tahun 1970 nilai KDNK adalah 71.1 bilion ringgit, berbanding pada tahun 2014, ia telah meningkat kepada 1.1 trilion ringgit.

Malaysia juga boleh berbangga, kerana telah berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi, antara yang tertinggi di Asia, yakni secara purata pada kadar 6.2 peratus setahun sejak lima dekad yang lalu.

Kedua, dari sudut struktur ekonomi, kita telah beralih daripada sebuah negara dominan sektor pertanian, dengan sumbangan 31.8 peratus kepada KDNK pada tahun 1970, kepada  sebuah negara berasaskan pembuatan dan perkhidmatan, dengan sumbangan pada kadar 76.5 peratus kepada KDNK. Sektor pertanian telah menguncup kepada paras 9.2 peratus pada 2014.

Ketiga, pendapatan bulanan purata isi rumah, juga meningkat lebih 20 kali ganda. Yakni, daripada 264 ringgit sebulan pada tahun 1970 kepada 6,141 ringgit sebulan pada tahun 2014. Manakala, pendapatan penengah atau median income sebulan pada tahun 1970 daripada 166 ringgit, telah meningkat kepada 4,585 ringgit sebulan tahun lalu.

Keempat, setakat RMK-10, sebanyak 76.1 peratus daripada isi rumah keseluruhan sudah memiliki kediaman. Bagi  isi rumah miskin pula, 75.3 peratus telah berjaya mempunyai rumah sendiri.

 Kelima, 95.1 peratus daripada penduduk di seluruh negara, mendapat akses kepada bekalan air bersih, dan 97.6 peratus pula, mendapat bekalan elektrik.

Keenam, jika pada tahun 1970, hanya 75 peratus rakyat Malaysia boleh membaca dan menulis. Syukurlah, hal ini, kadar literasi telah meningkat kepada 98 peratus.

Ketujuh, sebanyak 27 peratus daripada tenaga buruh kini mempunyai pendidikan tertiari, iaitu meningkat empat kali ganda berbanding 6 peratus pada tahun 1980 ketika penghujung Rancangan Malaysia Ketiga.

Kelapan, kadar pengangguran telah menurun daripada 7.4 peratus pada  tahun 1970 kepada hanya 2.9 peratus pada 2014.

Kesembilan, hak milik ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat pula,  telah meningkat sebanyak 10 kali ganda, yakni, daripada 2.4 peratus pada tahun 1970, kepada 23.5 peratus pada tahun 2011.

Dan kesepuluhnya, kadar kemiskinan telah berkurang daripada 49.3 peratus pada tahun 1970, kepada hanya 0.6 peratus pada  2014 yang lalu. Jadinya, bersyukur kita bahawa, kemiskinan tegar telah berjaya dibasmikan.

No comments:

Post a Comment