Monday 26 December 2016

BAHAYA GULA

Berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Lancet di United Kingdom pada 2013, Malaysia diklasifikasikan sebagai negara yang mempunyai kadar obesiti tertinggi di Asia, bahkan juga di dunia.

Berbanding nisbah global dalam lingkungan 30 peratus, hampir 45 peratus lelaki dan 49 peratus wanita Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau obes. 

Obesiti juga dikenal pasti sebagai salah satu faktor risiko diabetes dan penyakit jantung iaitu pembunuh nombor satu di Malaysia.

Memandangkan peningkatan obesiti dan penyakit kardiovaskular di negara ini, adalah penting setiap individu mempunyai diet seimbang dan mengekalkan gaya hidup sihat.

Tanggapan bahawa makanan sihat itu tidak sedap dan tidak menawarkan keseronokan perlu diubah. Masakan yang ditambah dengan gula dan penggunaan santan secara berlebihan punca kepada obesiti.

Memang sedap menikmati makanan pelbagai perisa, tetapi betapa derita dan sengsara apabila diserang penyakit berbahaya.   

Bukan saja kehidupan tertanggu, ia memerlukan rawatan yang tinggi untuk mengawal dan mengubatinya.

Penduduk Malaysia adalah antara pengambil gula yang tertinggi di dunia.  

Tidak hairan apabila isu kenaikan harga gula amat sensitif di kalangan rakyat. Mereka menganggap gula sebagai bahan penting dalam kehidupan.  

Malah, apabila kerajaan mengurangkan subsidi ke atas harga gula dan menjelaskan tindakan itu bertujuan untuk menjaga kesihatan rakyat, kebanyakan orang menganggapnya sebagai alasan tidak munasabah.

Gula memang diperlukan oleh badan sebagai pembekal tenaga. Namun jumlah yang perlu diambil sedikit saja. Ini kerana sumber tenaga juga boleh dijana daripada makanan lain terutamanya nasi yang menjadi makanan asasi rakyat Malaysia.

Bagi mereka mementingkan kesihatan, mereka menganggap gula sebagai 'racun'. Mereka tidak mengambil gula secara 'nyata' dimasukkan ke dalam minuman atau makanan.  

Cukuplah gula yang telah terkandung dalam kebanyakan makanan di negara kita.

Ahli endokrinologi dari University of California, Dr Robert Lustig mengatakan dalam bentuk apapun gula tetap berbahaya jika diambil berlebihan.

“Gula dalam bentuk fruktosa maupun sukrosa sama-sama tidak baik dan berbahaya untuk kesihatan. 

Keduanya adalah racun bagi tubuh,” ungkap Dr Lustig dipetik dari Foxnews bertarikh 3 Apr 2011.

No comments:

Post a Comment