Wednesday 21 July 2021

KEKAYAAN PERLU DIUSAHA UNTUK DIPEROLEH

Sudah menjadi aturan alam, kekayaan tidak datang dengan sendirinya seperti kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang,  jika tidak gigih berusaha mendapatkannya. 
 
Justeru, setiap pekerja mesti gigih mencari rezeki untuk mendapat kekayaan yang lebih dan buang sikap malas berusaha yang menjadi penghalang kepada kejayaan hidup. 
 
Golongan muda mempunyai peluang yang terbuka luas untuk mencari sebanyak mungkin kekayaan dan kejayaan memandangkan tenaga masih kuat serta semangat yang sentiasa membara.  
 
Sikap sesetengah golongan muda yang lebih suka menghabiskan masa bersukaria perlu dihentikan kerana pada umur muda inilah perlu dipergunakan sepenuhnya untuk mula mengorak langkah menuju kejayaan. 
 
Rasulullah pernah mengingatkan golongan muda agar menggunakan kesempatan umur muda sebelum sampai umur tua.  
 
Kelebihan ketika muda perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memulakan usaha mencari rezeki kerana tenaga masih kuat, bersemangat, tahan cabaran dan bercita-cita tinggi.  
 
Bertindak awal dalam usaha mencari kejayaan hidup perlu memandangkan kejayaan tidak dapat dicapai dengan mudah dalam tempoh yang singkat.  
 
Kita dapat perhatikan banyak individu yang berjaya sebenarnya telah berusaha dalam tempoh masa yang lama. Ada yang berusaha berpuluh-puluh tahun baharu mencapai kejayaan.  
 
Sebab itu, kita kena berusaha sejak dari usia muda lagi agar mencapai kejayaan pada masa hadapan. 
 
Sekiranya bermula awal, maka diharapkan cepatlah juga mencapai kejayaannya. Masa yang berlaku adalah sebahagian umur kita yang mesti dimanfaatkan untuk kejayaan hidup.  
 
Sesiapa yang mensia-siakan masa bermakna mempersiakan sebahagian umur yang tidak dapat diganti lagi. 
 
Terdapat individu yang berpegang kepada fahaman yang tidak ingin kepada kemewahan hidup dan sudah berasa memadai cara hidup sederhana sekadar memenuhi keperluan asas saja. 
 
Tindakan itu sebenarnya bukan satu pilihan, tetapi sikap yang tidak mahu berusaha disebabkan ia memerlukan kesungguhan dan mengorbankan banyak perkara.

No comments:

Post a Comment