Saturday 3 July 2021

Senarai aktiviti diperluas semasa Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara

 
Di negeri yang telah diumumkan beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara dibenarkan membuka lebih banyak operasi perdagangan dan pengedaran. 
 
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara sektor terbabit ialah kedai buku dan alat tulis, komputer serta telekomunikasi, barangan elektrik, kedai cuci kereta dan kedai gunting rambut. 
 
“Sementara pasar tani dan pasar pagi juga akan dibenarkan beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 11 pagi. Bagaimanapun, jualan terhad kepada enam komoditi utama iaitu sayur, buah, barangan runcit, ayam proses, makanan laut dan daging. 
 
“Pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu pula masih tidak dibenarkan dibuka,” katanya ketika sidang akhbar secara maya hari ini. 
 
Beliau mengingatkan pengusaha-pengusaha sektor yang dibenarkan beroperasi termasuk pasar tani dan pasar pagi agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan. 
 
Menurut Sabri lagi, di bawah Fasa Dua, kapasiti pekerja bagi sektor swasta dalam perkhidmatan perlu akan dinaikkan kepada 80 peratus. Pihak majikan perlu memastikan penjarakan fizikal dan SOP yang ditetapkan dipatuhi setiap masa. 
 
“Semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu dan tiada sentuhan fizikal dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri juga dibenarkan. 
 
“Ini termasuk aktiviti secara berindividu seperti joging, senaman, taichi, berbasikal, ‘skate boarding’, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis perseorangan, golf, permotoran dan seumpamanya,” jelasnya. 
 
Lima negeri yang diumumkan beralih kepada Fasa Dua ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis yang bermula Isnin ini.

No comments:

Post a Comment