Tuesday 5 October 2021

PROGRAM SUAI KENAL BUKAN MASA PELAJAR BAHARU DIDERA

  
Minggu orientasi atau minggu suaikenal sering dipandang dari sudut negatif dikaitkan dengan perbuatan mendera pelajar baharu oleh pelajar senior. 
 
Perkataan orientasi bermaksud satu kegiatan atau program yang dirancang bertujuan menjadikan seseorang faham akan sesuatu yang berkenaan. 
 
Orientasi juga bermaksud kegiatan yang akan dapat menyesuaikan diri dengan sesuatu yang baharu. 
 
Sebab itu, pelajar baharu di sekolah atau institusi pengajian tinggi perlu mengikuti program minggu orientasi. Program bertujuan membantu pelajar baru menyesuaikan diri dan mendapat maklumat mengenai pengajian, persekitaran dan peraturan yang ditetapkan di tempat baru.  
 
Biasanya, program orientasi diadakan sebaik selepas tempoh pendaftaran untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga hari dan ada melebihi seminggu, bergantung kepada pengisian program yang ditetapkan. 
 
Masa orientasi adalah peluang terbaik untuk pelajar baru mengetahui, mempelajari dan memahami banyak perkara baru. 
 
Kefahaman dan pengetahuan yang ditimba sepanjang tempoh orientasi akan memudahkan pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dan memudahkan untuk memulakan pengajian di tempat baru dengan lancar dan teratur. 
 
Memandangkan banyak perkara ingin dijayakan sepanjang program orientasi, sedangkan masa agak terhad, maka susunan program begitu padat dengan pelbagai aktiviti. Setiap ruang masa diisi sepenuhnya, bermula dari pagi sehinggalah sampai lewat malam. 
 
Sepanjang tempoh orientasi, pelajar tidak mempunyai peluang untuk rehat yang cukup. Keadaan ini tidak dinafikan menjadikan program orientasi memberi tekanan mental dan fizikal kepada pelajar yang tidak biasa berdepan dengan keadaan sedemikian. 
 
Pelajar tidak sepatutnya mengeluh atau merasa seperti didera. Sememangnya itu adalah cabaran permulaan yang perlu dihadapi dengan semangat juang yang jitu dan berkobar-kobar. Aspek cabaran sedemikian didedahkan kepada pelajar sebagai satu pengalaman baru.  
 
Sepanjang program orientasi adalah masa peralihan untuk melatih dan membimbing pelajar baru membentuk identiti diri bersesuaian dengan status pusat pengajian itu. 
 
Mereka didedahkan dengan aktiviti bersifat keilmuan dan dapat menyakinkan tentang tugas dalam usaha mencapai kecemerlang akademik dan akhlak. 
 
Program berbentuk ceramah, perbincangan berkumpulan, bekerja dalam kumpulan, perdebatan, merancang dan melaksanakan program, aktiviti keagamaan, aktiviti kemasyarakatan, bina diri dan bersukan adalah antara aktiviti yang biasa diadakan sepanjang orientasi. 
 
Aktiviti itu adalah teras mendedahkan dan melatih pelajar memahami banyak perkara yang berkaitan tugas mencapai tahap kematangan ilmu. 
 
Perjalanan program orientasi dibantu oleh pelajar senior yang dipilih khas oleh pihak pentadbiran. Kumpulan senior biasanya dikenali jawatankuasa orientasi (JO) atau nama lain mengikut kesesuaian program. 
 
Pelajar senior yang dipilih adalah kumpulan pelajar terbaik, dari segi pencapaian akademik maupun akhlak, kepimpinan dan kemahiran tertentu. 
 
Kehadiran JO bukan saja membantu melancarkan program orientasi, bahkan diharapkan menjadi contoh kepada pelajar baru. Penyertaan dan kejayaan diraih oleh JO boleh dijadikan panduan untuk pelajar baru merancang mencapai perkara yang sama, bahkan mungkin lebih baik daripada itu. 
 
Tugas utama JO ialah memastikan susun atur program dipatuhi dan dilakukan dengan lancar. Selain itu mereka biasanya bertindak sebagai fasilitator dan penyelaras bagi aktiviti-aktiviti tertentu. 
 
Didapati banyak pelajar baru fobia berdepan minggu orientasi disebabkan ada cerita mengatakan pelajar junior akan menjadi mangsa buli pelajar senior. Kejadian tersebut berlaku disebabkan ada segelintir pelajar senior yang ‘samseng’ dan kaki buli. 
 
Kejadian ini sebenarnya tidak kena mengena dengan program orientasi dan ditegah sama sekali. Kes buli banyak berlaku ketika selepas minggu orientasi yang dilakukan pelajar senior yang berlagak hebat. 
 
Pelajar baru perlu memanfaatkan program orientasi bagi kebaikan proses pembalajaran yang masih lama perlu ditempuhi. Permulaan yang baik adalah perintis kepada kesudahan dan pencapaian yang baik kemudiannya.  
 
Gambar beduk di Masjid Ar Rahman, Pulau Gajah tiada kaitan dengan tulisan ini. Sekadar hiasan. 

1 comment:

  1. Tepat sekali tu boh.
    Program orentasi itu lebih kepada penyesuaian yang bermula pada suai kenal antara pelajar baru dengan pelajar lama, mengenal dan memahami peraturan yg diguna pakai dalan lingkungan sebuah institusi, membentuk simulasi minda sesuai dengan peringkat pengajian / institusi, mengurangkan rasa resah atau tak selesa sesama pelajar, memahami ruang lingkup kawasan persekitaran supaya penuntut dapat menfaatkan sesuai dengan keperluan dan kegunaannya.

    Adapun penderaan yang berlaku antara pelajar senior dan junior adalah jalur lain yang tidak termasuk dalam maksud orentasi. Amalan regging ini sebenarnya satu bentuk penderaan yang terkeluar daripada norma adab sopan santun serta amalan murni yang menjadi asas penerapan nilai peri kemanusiaan yang digalakkan dalam satu-satu persatuan atau badan,team institusi dan sebagainys. Ia dipandang salah tidak termasuk dalam maksud atau difinasi ORENTASI.

    ReplyDelete