Sunday 28 November 2021

KEBAIKAN MAKAN ULAM

  
Adakah anda suka makam ulam? Ulam merupakan bahagian tumbuh-tumbuhan yang dimakan secara mentah, dicelur, distim atau direbus dan dihidangkan bersama hidangan nasi dan lauk-pauk yang lain. Ini termasuklah bahagian pucuk, daun, batang, umbut, biji, buah, ubi atau bunga tanaman. 
 
Di Malaysia, lebih daripada 120 jenis tumbuhan boleh dimakan sebagai ulam-ulaman, daripada tumbuhan herba kecil dan melata, jenis semusim seperti pegaga, sehinggalah kepada pokok-pokok renek dan pokok-pokok besar jenis saka seperti petai, jering, genuak dan kerdas, yang biasanya tumbuh liar di kawasan pedalaman, di dusun atau di hutan belantara. 
 
Sayur-sayuran biasa seperti timun, kubis dan terang juga boleh dianggap ulam apabila dimakan sebegitu sahaja. Dalam erti kata lain, ulam-ulaman ini sama sahaja seperti salad dalam diet barat. 
 
Apakah khasiat ulam-ulaman yang anda tahu? Oleh kerana ulam dimakan secara langsung tanpa dimasak lama terlebih dahulu, kandungan galian seperti mineral dan vitamin utama di dalam ulam tidak termusnah oleh haba. 
 
Ulam yang diperoleh secara semulajadi biasanya bebas daripada penggunaan racun serangga. Ia diperoleh dalam keadaan segar dan mempunyai banyak jenis khasiat daripada pelbagai jenis yang berbeza-beza. 
 
Galakan memakan ulam amat penting kerana kesan urbanisasi dan gaya hidup yang sukakan makanan segera memainkan peranan dalam pertambahan kadar obesiti di Malaysia. 
 
Dengan faktor risiko yang diteruskan generasi demi generasi, golongan muda dan kanak-kanaklah yang paling terkesan. Apatah lagi, menurut laporan Euromonitor, kadar pengambilan makanan proses di Malaysia meningkat sebanyak 105% dalam masa 5 tahun. 
 
Malaysia bukan sahaja antara negara dengan kadar obesiti kanak-kanak paling tinggi di dunia, bahkan, menurut kajian, pengambilan serat dalam kalangan remaja Malaysia tidak sampai 19 peratus daripada saranan WHO. 
 
Melihatkan senarai pilihan makanan harian di Malaysia yang kaya karbohidrat dan lemak, menjadikan budaya makan Malaysia sebagai menggemukkan. 
 
Maka, kita perlu kembali kepada budaya pemakanan tradisional yang berasaskan kepada banyak makan ulam-ulaman yang dapat membantu kesihatan yang baik.

No comments:

Post a Comment