Tuesday 2 August 2022

BUAH JENTIK ISI BERWARNA MERAH

  
Buah jentik juga dikenali buah jentik-jentik, sama sebutan untuk larva nyamuk. Ada juga orang panggil buah jetik. Seperti pokok natif lain, pokok jentik tidak ditanam, sebaliknya tumbuh liar di dalam hutan. Pokok jentik dikategori pokok bermusim. 
 
Buah jentik seakan-akan buah rambai tetapi saiznya lebih kecil. Isi buah jentik merah menyala. Buah jentik yang telah masak pada tangkai ini akan pecah apabila 'dijentik'. Sebab itu buah ini dipanggil buah jentik. 
 
Pokok jentik-jentik tumbuh menegak dengan batang berkayu. Mudah cerita pokok jentik sama seperti pokok rambai. Bunganya adalah sangat kecil dengan rumpun kecil yang banyak, padat pada tangkai jambak yang berjuntai sepanjang 20 - 30 cm dari dahan tua. 
 
Buah jentik-jentik yang muda berwarna hijau seakan-akan buah rambai yang bergantung-gantung pada tangkai. Ia akan bertukar kepada warna kekuningan dan akhir sekali akan bertukar kemerahan apabila masak. 
 
Terdapat tiga biji dalam satu buah. Warna isi adalah merah dengan rasanya masam-masam manis. Namun, rasa buah berkenaan yang masam-masam manis akan bertukar masam seandainya kulit buah merekah. 
 
Ada dua spesis jentik-jentik iaitu jenis Baccaurea Polyneura yang sering juga dipanggil jentik-jentik merah dan Baccaurea hookeri dipanggil jentik-jentik hutan. 
 
Pokok buah jentik-jentik adalah natif dari Malaysia, Sumatera hingga ke Borneo dan tumbuh dikawasan tanah yang bercampur dengan tanaman lain. 
 
Apabila tiba musim pengeluaran hasil (ia buah bermusim), lazimnya kanak-kanak gemar memakan buahnya dan terus menelan bijinya. Pokok ini mungkin tidak mempunyai nilai ekonomi dimana banyak pokok ini telah banyak ditebang tanpa memikirkan akan kepunahan habitat pokok ini untuk genarasi akan datang. 
 
Boleh dikatakan majoriti generasi muda tidak mengenali buah jentik. Sebab itu banyak orang mengatakan buah jentik adalah buah rambai. Kekeliruan itu berpunca tidak mengenali buah jentik dan pada masa sama tidak begitu pasti dengan ciri-ciri buah rambai yang juga semakin kurang dikenali.

 


No comments:

Post a Comment