Friday 20 January 2023

MENGAPA KELANTAN DIGELAR SERAMBI MEKAH

  
Negeri Kelantan mendapat gelaran Serambi Mekah, yang membayangkan negeri Kelantan sebahagian daripada Mekah. Maksudnya di sini ialah Islam adalah kuat di negeri Kelantan. Kenyataan ini adalah tepat kerana Kelantan telah beberapa kali menjalankan hukum mengikut al-Quran seperti di zaman pemerintahan Sultan Ahmad (1886-1889 M) dan Sultan Mansur (1890-1900 M).

Sejak abad ke-19 lagi, negeri-negeri Kelantan terkenal sebagai pusat terpenting di rantau ini di mana Islam memainkan peranan mencorakkan kehidupan sosial dan politik rakyat jelata negeri itu.

Kelantan yang dianggap sebagai sebuah negeri Melayu yang unik mempunyai sejarahnya yang tersendiri dengan melahirkan tokoh-tokoh yang terkenal, sama ada tokoh-tokoh politik, sasterawan, budayawan, mahupun tokoh-tokoh agama yang menarik minat kebanyakan pengkaji-pengkaji sejarah untuk menyiasat dan mengkaji perkembangan fikiran, agama, kesusasteraan serta kebudayaan masyarakat yang tumbuh dan berkembang sejak beberapa abad yang lampau.

Orang yang paling awal yang menyampaikan pendidikan Islam yang dapat dikesan setakat ini ialah Tuan Syeikh Haji Abdul Halim. Beliau telah memulakan pengajarannya di Kelantan pada akhir abad ke-18 Masihi setelah menamatkan pembelajaran di Mekah. Beliau telah menyampaikan pengajarannya di istana dan di surau-surau untuk anak-anak raja, anak-anak pembesar dan orang ramai. Pengajarannya telah mendapat sambutan daripada masyarakat Kelantan dan dari luar negeri.

Kemasyhuran Kelantan serambi mekah berkait rapat dengan sekolah pondok. Hakikat ini adalah jitu kerana Kelantan ditakdirkan menjadi negeri percambahan sekolah pondok lebih daripada negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu.
 
Institusi pondok merupakan institusi yang paling istimewa kedudukannya dalam masyarakat Melayu tradisional, terutama masyarakat Kelantan. Pertumbuhannya berkait rapat dengan kemunculan tokoh-tokoh ulama dan cendekiawan yang berwibawa.

Perkataan pondok mungkin berasal perkataan Arab iaitu funduqun yang bererti rumah tumpangan atau tempat menginap pengembara-pengembara. Ada juga yang mendefinisikannya sebagai rumah kecil yang didirikan untuk sementara waktu di sawah-sawah, di lading-ladang atau di lain-lain tempat. Ada juga yang mengatakan perkataan langgar sama ertinya dengan perkataan pondok. Langgar itu berasal dari perkataan Farsi yang bererti madrasah atau tempat belajar.

Ulama-ulama pada umumnya di samping dianggap alim dalam ilmu agama, juga dipercayai oleh orang ramai sebagai manusia yang berkat. Oleh kerana menghendaki keberkatan itu tertumpu kepada diri mereka masing-masing demi untuk mendapat restu serta keuntungan hidup di dunia dan di akhirat nanti, maka orang ramai cuba pula mendekati diri masing-masing dan berbakti kepada ulama-ulama tadi.

Apabila khabar didapati bahawa ada anak tempatan telah tamat belajar di Mekah dan dianggap menjadi alim, mereka akan dinanti-nantikan oleh masyarakat di Kelantan. Sebagai contohnya, sesampai sahaja Tuan Tabal di Pelabuhan Tumpat, Kelantan, dari Mekah dengan sebuah kapal, beliau telah disambut oleh masyarakat di situ termasuklah seorang pembesar negeri Kelantan pada masa itu yang bergelar Tok Semian.
 
Semasa di Tumpat itu juga, beliau telah ditawarkan oleh Tok Semian supaya berkahwin dengan anak perempuannya yang bernama Wan Som. Di Lorong Tok Semian di dalam bandar Kota Bharu, selepas perkahwinan itu, Tuan Tabal telah diwakafkan oleh keluarga Raja Muda Zainal Abidin sebuah surau untuk beliau mengajar dan beribadah di situ.

Begitu jugalah halnya dengan ulama-ulama yang lain. Antaranya ialah Tok Kenali. Dikatakan apabila beliau kembali dari Mekah, beliau dikunjungi oleh berduyun-duyun masyarakat setempat termasuklah sahabat-sahabat beliau sendiri.
 
Begitu juga halnya dengan kedatangan Haji Muhd Said ke bandar Kota Bharu dari Negeri Sembilan, pada penghujung abad ke sembilan belas telah mendapat sambutan yang ramai daripada masyarakat setempat. Beliau merupakan seorang ulama yang dianggap wali serta berkat oleh kebanyakan anggota masyarakat jajahan ini.
 
Sekarang ini Kelantan terus gah dan diakui sebagai negeri yang pemerintah dan rakyatnya mengamalkan kehidupan bersandarkan kepada tuntutan Islam.
 
Gambar - Masjid Pusat Pengajain Pondok, Kampung Kandis
 

No comments:

Post a Comment