Perpaduan merupakan strategi paling ampuh
untuk mencapai kejayaan dalam apa jua perkara yang dilakukan. Dalam sebuah
negara, perpaduan di kalangan rakyat menjadi penentu kepada kejayaan sesuatu
dasar yang dirancangkan.
Sesungguhnya nikmat perpaduan jangan
dipersia-siakan kerana tanpanya kehidupan ini akan dipenuhi dengan kegawatan
fizikal dan rohani. Tenaga dan masa harus ditumpukan kepada usaha membina
kejayaan hidup, dan bukannya mencipta bibit-bibit perpecahan.
Mereka yang sukakan pertentangan sesama
sendiri dan menolak ikatan persaudaraan, sebenarnya mencampakkan diri sendiri
dalam kebinasaan. Kehidupan diumpamakan berada di tepi jurang api neraka
yang pasti terasa panasnya. Kehidupan hanya akan kembali selamat jika kembali
berpegang kepada ajaran agama.
Al-Quran dan sunnah adalah panduan hidup
seluruh umat Islam yang paling mujarab mengubati penyakit hati manusia.
Kehidupan yang dipimpin dengan nur keimanan dan ketakwaan pastinya akan selamat
selama-lamanya dalam redaan Allah SWT.
Firman Allah SWT bermaksud: “Pada hari ini
Aku sudah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku sudah cukupkan nikmat-Ku
kepada kamu dan Aku sudah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Surah
al-Maidah, ayat 3).
Nikmat perpaduan sering dilupai apabila keadaan
kehidupan yang semakin baik. Sepatutnya kita semakin memperkukuhkan perpaduan
untuk mencapai kejayaan yang lebih baik dalam keadaan hidup yang telah baik
itu.
Akibat perpecahan, umat Islam menjadi lemah
dan ada pihak mengambil kesempatan untuk menindas. Sebab itu, umat Islam di
seluruh dunia semakin mundur dan ketinggalan.
Ajaran Islam menyuruh kita sentiasa
memperbaiki hidup agar semakin baik daripada sebelumnya. Mereka yang kembali
kepada keadaan lebih buruk daripada sebelumnya dianggap sebagai mendustai
nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya.
Sikap mudah lupa dan alpa menjadi barah
dalam diri manusia yang sering membawa kepada kemusnahan. Keadaan ini perlu
dijauhi sebelum ia menjadi satu budaya dalam masyarakat.
Sesungguhnya kita ada sejarah dan
pengalaman untuk dijadikan pengajaran. Mengapa masih bermain api kelak nanti
terbakar diri dan musnah seluruh kehidupan.
Kalau kita mengaku berpegang kepada Islam,
utamakan perpaduan dan bersatu. Itu perintah jelas dari Allah SWT dan
Rasulullah SAW. Sesungguhnya perpaduan adalah satu nikmat yang dibawa oleh
ajaran Islam.
Firman Allah SWT bermaksud: “Hendaklah kamu
berpegang teguh kepada tali (agama) Allah, jangan kamu berpecah belah. Ingatlah
akan kurniaan Allah kepadamu ketika kamu sedang bermusuh-musuhan, lalu Allah
mempersatukan hatimu, sehingga kamu menjadi satu saudara dengan kurnia-Nya.”
(Surah Ali Imran, ayat 103).
No comments:
Post a Comment