Menora satu tradisi
masyarakat Siam di Malaysia, khususnya di Kelantan, Kedah dan Perlis. Menora mempunyai
banyak erti dan bergantung kepada si penutur itu sendiri. Menora boleh membawa
maksud mendatari (dance-drama), pembaca puisi, atau pemimpin kumpulan, atau
pelakon atau penari persembahan itu.
Menora adalah sejenis
drama tari. Sama seperti Makyung, Mekmulung, Jikey dan lain-lain. Dramatari
adalah bermaksud suatu persembahan yang merangkumi drama, nyanyian, dan tarian.
Terdapat beberapa
versi berkaitan dengan asal menora. Namun, tidak diragui bahawa menora berasal
dari Selantan Thailand yang pada masa dahulu pernah dikuasai kerajaan dari
Tanah Melayu.
Mengikut catatan
sejarah, menora berasal dari minat seorang puteri raja di Phattalung yang
bernama Srimala terhadap tarian dan bunyi-bunyian.
Minat Puteri Srimala
yang mendalam terhadap apa sahaja jenis bunyi-bunyian seperti tepukan gendang,
kayu ataupun tempurung mendorong beliau untuk menari apabila terdengar sahaja
bunyi-bunyian tersebut.
Aneh dengan keadaan
puterinya, Raja Phattalung merujuk hal ini kepada seorang tukang tilik yang
dikenali sebagai Hohra bagi mendapatkan penjelasan.
Namun ternyata Hohra
mempunyai sifat iri hati terhadap kelebihan Puteri Srimala, maka beliau telah
mencadangkan kepada Raja Phattalung supaya Puteri Srimala dibuang ke sebuah
pulau kerana menurut firasat Hohra, negeri tersebut akan ditimpa bala bencana
sekiranya Puteri Srimala masih berada di Phattalung.
Tanpa banyak berfikir dan demi keselamatan negeri dan rakyatnya, raja Phattalung mengambil keputusan untuk menghanyutkan Puteri Srimala bersama empat orang pengikut atas sebuah rakit.
Dua daripada mereka
bernama Ta Mo Thep dan Thep Shing Hon. Oleh kerana terlalu berminat terhadap
tarian, Puteri Srimala dan pengikutnya telah menubuhkan sebuah kumpulan tarian
dan lakonan untuk menyara keperluan hidup.
Kumpulan tarian dan
lakonan inilah yang dinamakan menora. Kebanyakan cerita yang dipersembahkan
oleh kumpulan menora adalah berunsurkan khayalan yang melibatkan dewa-dewa dan
kayangan.
Lama kelamaan, persembahan menora telah mendapat sambutan dan diminati oleh rakyat di Phattalung. Kumpulan menora Puteri Srimala menjadi sangat terkenal dan akhirnya dijemput untuk mengadakan persembahan di istana.
Oleh kerana telah
membohongi Raja Phattalung, Hohra berasa malu dan berusaha untuk membunuh
Puteri Srimala dengan berbagai cara.
Keadaan ini telah
menarik perhatian dari dewa-dewa yang berada di kayangan dan mereka bertindak
mengirim petir untuk membunuh Hohra dan pengikut-pengikutnya sebelum niat
mereka untuk membunuh Puteri Srimala berjaya dilaksanakan.
Hal ini menyebabkan
Puteri Srimala telah dapat kembali hidup di istana dengan aman dan sempurna
bersama keluarganya.
No comments:
Post a Comment