Friday 20 November 2020

SEJARAH WANG DARI LOGAM BERTUKAR KEPADA KERTAS

 
Sistem pertukaran barang (barter trade) merupakan sejenis bentuk perniagaan yang tidak menggunakan sebarang bentuk perantara pertukaran di mana barangan atau perkhidmatan ditukar dengan barangan atau perkhidmatan lain. Sistem ini sukar untuk dilaksanakan kerana sukar menemui pihak yang inginkan barang yang ditawarkan dan sanggup menerima barang lain sebagai tukaran. 
 
Lanjutan itu, maka lahirlah wang sebagai bahan tukaran kepada barang yang dijual. Pada peringkat awal, bahan yang diterima atau dijadikan sebagai wang macam-macam bentuk seperti kulit kerang, garam, batu dan sebagainya yang diterima kedua-dua belah sebagai bahan tukaran dengan barang atau sesuatu yang diniagakan. 
 
Wang dalam bentuk sedemikian tidak tahan lama dan sukar ditentukan nilai. Maka, lahir pula wang dalam bentuk logam tertentu seperti tembaga dan besi. Logam ii mempunyai ciri-ciri tahan lama dan diterima umum sebagai matawang. 
 
Namun, penggunaan logam tanpa piawaian sering berlaku salah faham dari segi nilainya. Justeru itu, penggunaan logam emas dikatakan lebih menarik dan diterima umum. Logam emas dipercayai mula digunakan pada empayar Rom. 
 
Pengguna wang emas atau dinar berkembang pada era empayar Islam di Cardova dan Baghdad. Ia turut diperkenalkan di tempat yang tersebarnya Islam, termasuk di Nusantara, terutama kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. 
 
Sejarah penggunaan wang emas berakhir dengan jatuhnya kerajaan Khalifah Uthmaniah yang berpusat di Istanbul, Turki pada tahun pada 1924. 
 
Sebelum berakhirnya penggunaan wang emas, wang kertas sudah diperkenalkan, terutama di negara Barat. Pada ketika itu, pengeluaran wang kertas bersandarkan kepada emas sebagai sandaran. Pengeluaran wang kertas dibuat berdasarkan kepada nilai emas yang ada dalam simpanan. 
 
Namun, sejarah wang kertas diwarnai misteri, tipu daya dan pembelitan yang dahsyat. Warga Amerika Syarikat, G Edward Griffin dalam buku The Creature From Jekyll Island berkata bahawa titik bermulanya penipuan wang kertas adalah pada 1910. 
 
Mesyuarat misteri di pulau Jekyll pada tahun itu membawa kepada penubuhan the Federal Reserve Department (FRD) pada tahun 1913 yang keahliannya bukan di kalangan rakyat atau institusi kerajaan Amerika Syarikat, sebaliknya dianggotai oleh syarikat milik persendirian asing. 
 
Penggunaan perkataan ‘federal’ (persekutuan) ke atas sesuatu yang berbentuk persendirian adalah pembohongan yang nyata. Kongres Amerika Syarikat terpaksa meluluskannya secara curi-curi penubuhan FRD. 
 
Jabatan ini kemudiannya mentadbir segala urusan kewangan Negara Amerika Syarikat, antaranya mencetak wang kertas Dolar Amerika dan memperkenalkan Fractional Reserve Bangking (FRB) atau Fractional Reserve Requirement (FRR) yang menjadi asas perjalanan sesebuah bank.  
 
Sehingga hari ini, FRB digunakan oleh industri perbankan di seluruh dunia termasuk Malaysia untuk mencipta wang sesuka hati dalam jumlah yang berlipat kali ganda melebihi kekayaan sebenar. 
 
Berikutan penubuhan FRD, banyak peristiwa besar berlaku sehingga membolehkan British mengusai Bandar Jerusalem pada 1919. 
 
Penguasaan itu menandakan berakhirnya era Perang Salib yang berlangsung selama 250 tahun antara umat Islam dan Kristian. Dunia pun berubah dengan mendadak. Kemuncaknya ialah kejatuhan Kerajaan Khalifah Uthmaniah. 
 
Peristiwa demi peristiwa terus mengejutkan dunia, antaranya Perang Dunia Pertama dan krisis ekonomi dunia besar-besaran pada 1929. Pada 1944, muncul pula perjanjian Bretton Woods yang melibatkan 44 buah Negara dunia yang bersetuju untuk menyandarkan mata wang kertas masing-masing kepada Dolar Amerika dengan jaminan bahawa USD35 bersamaan dengan satu auns emas. 
 
Negara-negara dunia tidak lagi menyandarkan mata wang kertas kepada rizab emas masing-masing seperti sebelum ini. Setahun selepas Dolar Amerika mendapat ‘daulat’ berkenaan, International Monetory Fund (IMF) pun ditubuhkan. 
 
Pada 1948, Negara Israel mendapat pengiktirafan sebagai sebuah Negara berdaulat di tengah-tengah Negara Palestin yang sah. 
 
Seterusnya pada 1971, kerajaan Amerika Syarikat pimpinan Ricard Nixon hampir bankrap gara-gara Perang Vietnam dan masalah deficit imbangan pembayaran yang berterusan. 
 
Tuntutan rasmi terhadap rizab emas Amerika Syarikat melambung kepada USD32 bilion sedangkan rizab emas yang ada hanya satu pertiga. Keyakinan terhadap Dolar Amerika punah. Berduyun-duyun bank pusat negara lain memeras ugut Amerika Syarikat dengan cara menebus pegangan Dolar Amerika masing-masing. Emas mengalir keluar dari Amerika Syarikat lalu dengan sendirinya meruntuhkan nilai Dolar Amerika. 
 
Namun Amerika licik bertindak dengan memutuskan ikatan antara Dolar Amerika dan emas. Ini bermakna Amerika Syarikat memungkiri perjanjian Bretton Woods dan bertindak secara unilateral untuk menguburkan system piawaian emas. 
 
Selepas 15 ogos 1971, dolar tidak lagi bersandarkan kepada emas. Sejak itu, nilai dolar ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran pasaran tukaran wang asing. 
 
Kesannya, semua matawang dunia berubah menjadi matawang fiat iaitu matawang yang bernilai sifar. Ini bermakna setiap Negara bebas mencetak wang kertas tanpa perlu bersandarkan kepada apa-apa rizab. Kalau ada pun, ia dalam jumlah yang kecil seperti yang ditetapkan oleh Special Drawing Rights IMF. Bayangkan betapa liciknya permainan ini.

No comments:

Post a Comment