Thursday, 19 November 2026

PEGAWAI TENTERA TERLIBAT PENYELUDUPAN DADAH BERSKALA BESAR

 
Pegawai tentera terlibat penyeludupan dadah berskala besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan penglibatan pegawai kanan tentera termasuk juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta pegawai berpangkat leftenan dan kapten dalam kes penyeludupan dadah berskala besar baru-baru ini.

Bercakap pada sidang media di Shenzhen, Guangdong China sempena Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-33, pada 19 November, beliau menegaskan, kerajaan tidak akan sesekali bertolak ansur atau cuba menyelamatkan imej mana-mana jabatan keselamatan yang terpalit dengan pengkhianatan sedemikian yang disifatkannya sebagai “harapkan pagar, pagar makan padi”.

Menurut Datuk Seri Anwar, walaupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan siasatan, beliau memutuskan untuk mendedahkan perkara itu lebih awal bagi mengelakkan tanggapan kononnya kerajaan sengaja melengah-lengahkan tindakan.

“Dalam kes terbaharu ini melibatkan pegawai-pegawai TUDM, termasuk pegawai kanan dan juruterbang yang menyeludup jumlah dadah yang besar. Bagaimana boleh kita harapkan negara ini boleh selamat kalau kita izinkan perkara ini? Ambil tindakan, jangan kita tolak ansur sedikit lagi,” katanya.

Beliau memaklumkan telah berbincang secara langsung dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Polis Negara serta Panglima Angkatan Tentera dan kesemua pihak sepakat mengambil tindakan tegas tanpa kompromi termasuk terhadap orang awam yang bersubahat.

“Bukan ini hendak selamatkan imej ataupun jabatan, tidak. Ini satu perkara yang serius. Bayangkan leftenan, kapten dan juga ada orang awam. Jadi yang terperincinya biar PDRM mengumumkan,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memuji ketegasan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM dalam menggempur sindiket kongsi gelap yang menyalahgunakan sistem kewangan negara, sehingga membawa kepada penahanan lebih 100 suspek serta pembekuan akaun dan rampasan aset bernilai berbilion ringgit.

Tegasnya, segala usaha menteri menarik pelaburan asing bernilai ratusan bilion ringgit tidak akan memberi jaminan keselamatan kepada negara sekiranya ketirisan akibat penyeludupan dan rasuah dibiarkan berterusan.

Gambar sekadar hiasan. 

 


No comments:

Post a Comment