Monday 26 December 2016

LANUN DI BUKIT KELUANG

Lanun mengganas di perairan Terengganu, berhampiran dengan Bukit Keluang, Kuala Besut, Terengganu. Kisah ini berita benar.  

Bukit Keluang, pantai peranginan terkenal yang terletak di daerah Besut, Terengganu pernah dijadikan sarang lanun. 

Bukit Keluang terletak kita-kira enam kilometer dari Kampung Raja, pusat pentadbiran bagi daerah Besut.   

Pada masa dahulu memang terdapat banyak kumpulan lanun yang bermaharajalela di kawasan perairan Kelantan dan Terengganu.  

Mereka melakukan rompakan di laut terhadap kapal-kapal yang berlayar dari Selatan Thai dan Indo China menuju ke kepulauan Nusantara.  

Kawasan Bukit Keluang yang mempunyai beberapa buah gua dan terletak jauh dari kampung memang sesuai dan selamat dijadikan tempat tinggal oleh kumpulan lanun. 

Tambahan pula, kawasan tersebut sukar didatangi dari kawasan luar kerana dikelilingi oleh kawasan paya dan hutan bakau.

Kawasan Bukit Keluang juga dianggap kawasan ‘selamat’ kerana berada jauh dari pusat pentadbiran kerajaan negeri, iaitu kerajaan Kelantan di Kota Bharu dan kerajaan Terengganu di Kuala Terengganu.  

Bukit Keluang terletak kira-kira 60 kilometer dari Kota Bharu, dan 120 kilometer dari Kuala Terengganu.  

Kerajaan kesultanan di kedua-dua negeri itu lebih menumpukan kepada urusan di ibu negeri masing-masing. 

Tambah lagi, masalah perebutan kuasa antara kerabat diraja dan peperangan dengan kerajaan-kerajaan berhampiran masih lagi berlaku. Jadi, kerajaan-kerajaan negeri pada waktu itu tidak begitu menumpukan kepada usaha membanteras lanun.   

Catatan mengenai kawasan Bukit Keluang telah dijadikan sebagai tempat tinggal kumpulan lanun terdapat di dalam buku Kisah Pelayaran Abdullah yang ditulis oleh Abdullah Abdul Kadir Musnyi, seorang pelayar dan penulis terkemuka dalam sejarah kesusateraan negara kita. 

Abdullah Musnyi dianggap sebagai penulis dalam era ‘moden’ yang banyak membuka minda orang Melayu berdepan dengan cabaran hidup yang mula dikuasai pengaruh penjajah Inggeris. Abdullah Musnyi juga dianggap bapa kewartawanan moden.

Untuk rekod, Inggeris mula datang ke negara kita melalui misi perdagangan sejak awal tahun 1730-an di Terengganu (Kuala Terengganu), Negeri Sembilan (Linggi) dan Selangor (Kuala Selangor).  

Pada tahun 1786, Inggeris melalui peniaga bernama Francis Light mendapat kebenaran menduduki Pulau Pinang. Pada tahun 1791, Sultan Kedah yang menguasai Pulau Pinang pada ketika itu terpaksa menyerah Pulau Pinang kepada Francis Light.

Abullah Munsyi mencatatkan di dalam buku kisah pelayarannya bahawa dia telah berselisih laluan dengan sekumpulan orang yang kelihatan gagah berada di atas sebuah perahu.  

Bagaimanapun, dia tidak mengetahui siapakah kumpulan orang tersebut sehinggalah dia diberitahu oleh orang di Kelantan bahawa kumpulan tersebut adalah lanun. Peristiwa tersebut berlaku pada bulan Mac 1838.

Sekarang ini Bukit Keluang tidak lagi menjadi tempat tinggal kumpulan lanun. Kawasan yang dahulunya ditakuti untuk dikunjungi penduduk kampung, kini telah bertukar menjadi sebuah kawasan peranginan terkenal yang tidak putus-putus dikunjungi orang ramai.

Kawasan gua yang dahulunya menjadi tempat tinggal lanun adalah antara daya tarikan pengunjung ke Bukit Keluang. 

Pengunjung biasanya tidak melepaskan peluang untuk menjanguk ke dalam gua yang berkeluasan kira-kira sebuah bilik darjah. 

Terdapat beberapa buah gua yang terjadi akibat hakisan ombak sejak beribu-ribu tahun lalu. Gua-gua itu tersebut kini terletak betul-betul di gigi ombak.  

Ketika air pasang, ombak memukul sehingga ke dalam gua yang memecahkan struktur lembut sehingga terbentuk gua. 

Bentuk batu atau dinding gua dan batu-batu yang berada di sekitarnya amat menarik yang terjadi hasil akibat hakisan ombak. 
 
Permukaan gua berkerutu. Struktur batu memperlihatkan pelbagai jenis batu seperti diikat oleh simen.

No comments:

Post a Comment