Monday 26 December 2016

CIRI PERBEZAAN KELUANG DENGAN KELAWAR

 
Terdapat nama tempat menggunakan nama 'Keluang' seperti Keluang, Johor, Kampung Sungai Keluang, Pulau Pinang, Kampung Keluang, Pahang, Kampung Telok Keluang, Kedah dan Bukit Keluang, Terengganu. 

Keluang merujuk kepada haiwan mamalia dalam keluarga haiwan kelawar dipanggil Pteropodidae.
 
Di Malaysia, ia lazimnya digunakan bagi merujuk kepada spesies khusus Pteropus vampyrus. Keluang haiwan berdarah panas, dalam kumpulan kelas mamalia. Sebagaimana haiwan mamalia lain, keluang membiak cara beranak.
 
Ukurannya berkali-kali ganda lebih besar berbanding kelawar biasa. Panjang antara hujung sayap dengan hujung sayap kira-kira 0.5 meter hingga 1.0 meter.

Ramai menganggap kelawar dan keluang mempunyai sifat sama. Perbezaan yang sering disebut oleh orang yang mengatakan keluang dan kelawar sama hanyalah pada ukurannya. Sebenarnya keluang dan kelawar amat berbeza.

Tabiat keluang berbeza dengan kelawar. Jika kelawar keluar pada waktu malam, keluang pula keluar pada waktu pagi. Sifatnya waktu cari makan sama dengan burung yang keluar waktu pagi dan pulang ke sarang pada waktu petang.  

Makanan utama keluang ialah buah-buahan. Sedangkan kelawar pula suka makan serangga.

Keluang mempunyai mata boleh melihat. Sebab itu, keluang terbang berkawan dan arah terbangnya lurus seperti burung. Keluang terbang jauh pergi mencari makan hingga berpuluh-puluh kilometer dari tempat tinggalnya setiap hari. Semasa terbang, kadang kala keluang mengeluarkan bunyi nyaring.  

Mana-mana tempat mempunyai dusun pokok sedang berbuah akan menjadi tumpuan kumpulan keluang. Keluang menjadi musuh utama bagi pemilik dusun, selain ancaman tupai dan musang.

Sebaliknya, kelawar tidak mempunyai mata yang berfungsi untuk melihat. Kelawar ada mata, tetapi buta. Kelawar terbang secara rawak (tidak lurus) dan bergantung kepada deria bunyi untuk mengelak melanggar sesuatu.       

Pada waktu petang (hampir malam), keluang akan berkumpul sambil mengeluarkan bunyi yang nyaring. Dalam peribahasa Melayu ada menyebut, “bagai keluang bebar petang” yang bermaksud orang berkerumun (berhimpun) beramai-ramai.

Sekarang ini sukar untuk melihat keluang, kecuali di kawasan pedalaman yang masih dipenuhi hutan. 

Penulis sendiri sudah tidak melihat keluang lebih daripada 30 tahun. Sedangkan dahulu, boleh dikatakan setiap petang pada musim buah-buahan, penulis berpeluang melihat berpuluh-puluh, dan sampai beratus-ratus ekor keluang terbang di ruang angkasa menuju ke Bukit Keluang. Tempat tinggal penulis kira-kira 60 kilometer dari Bukit Keluang.

Sebab itu, jika disebut keluang, ramai generasi muda tidak mengenalinya. Untuk mengambarkan tentang keluang, terpaksalah diberitahu persamaannya seperti kelawar. 

Umumnya, masih ramai orang mengenali kelawar, termasuk kanak-kanak. Itupun mungkin disebabkan adanya cerita batman (orang kelawar). Selain itu banyak gambar mengenai kelawar masih tersiar di media elaktronik. 

4 comments: