Monday 20 November 2017

WAKIL SYAITAN SESATKAN MANUSIA

Demi cita-cita menyesatkan manusia, syaitan akan menyusup dan menyelinap dalam semua aktiviti kehidupan manusia. Semua golongan tidak kira beriman atau tidak, kaya atau miskin, cedik atau bodoh, kuat atau lemah, alim atau jahil dan tua atau muda tidak terkecuali didampingi oleh syaitan..

Perlu ditegaskan, syaitan yang wajib dijauhi bukan saja berupa dalam bentuk kejadian asalnya yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera manusia biasa. Malah, syaitan juga datang dalam bentuk manusia biasa yang hidup di alam nyata, yakni manusia yang telah terpengaruh dengan tipu daya syaitan menjalankan tugas-tugas syaitan. Syaitan menguasai golongan ini menjadi agen untuk menyesatkan manusia.

Ingatlah firman Allah yang bermaksud: “(Aku berlindung kepada Allah) daripada kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan (menghembuskan) bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) daripada jin dan manusia.” (Surah an-Nas, ayat 4-6).

Setiap kali berjaya mempengaruhi manusia melakukan kejahatan dan membenci kebaikan, syaitan semakin bersemangat untuk meneruskannya. Syaitan mengetahui kelemahan dan kekuatan setiap orang yang didampinginya. 

Syaitan mahu menyesatkan seseorang dengan kesesatan yang paling berat. Sebab itu setiap kejahatan yang dilakukan akan diulang-ulang dan ditambah pula dengan kesalahan lain. 

Hanya orang benar-benar beriman dan bertakwa mampu menangkis segala serangan dan hasutan syaitan biarpun tidak melihat di mana syaitan berada. Justeru, tingkatkan keimanan dan ketakwaan untuk mengelak daripada pengaruh syaitan.

Pelbagai cara digunakan syaitan untuk mengganggu manusia untuk menyeleweng daripada ajaran Islam dan melakukan dosa. Kedatangan syaitan sukar diduga kerana tidak dapat dilihat, datang dalam bentuk penjelmaan halus hingga mampu membolosi daya pemikiran dan mengalir dalam diri manusia melalui aliran darah.

Syaitan bukan sahaja mempengaruhi melakukan kejahatan secara fizikal, bahkan cuba menguasai minda dengan menimbulkan keraguan dalam diri yang boleh membawa kepada syirik.

Syaitan sentiasa menghembuskan hasutannya kepada manusia agar cintakan kepada harta benda, melakukan kezaliman, bersifat kedekut, ikut kehendak hawa nafsu dan kejahatan lain yang menimbulkan kemurkaan Allah.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Syaitan akan datang kepada kamu, lalu berkata: “Siapa yang menjadikan ini? Siapa yang menjadikan itu? Sampai dia berkata: Siapakah yang menjadikan Tuhanmu? Apabila sampai pada pertanyaan demikian, hendaklah orang itu memohon perlindungan kepada Tuhan dan hendaklah berhenti memikirkannya.” (Hadis riwayat Bukhari).

No comments:

Post a Comment