Friday, 5 January 2018

KEDUDUKAN ISLAM ISLAM DIPERTAHAN MELALUI PERLEMBAGAAN

Perjuangan menegakkan kebenaran dan kedaulatan agama Islam di negara ini ternyata mendepani cabaran getir serta ujian atau liku-likunya yang tersendiri.

Hak dan kebenaran perlu dipertahankan. Ini satu amanah dan tanggunajawab setiap muslim.

Firman Allah SWT bermaksud: “Supaya Allah menegakkan yang benar itu dan menghapuskan yang salah (kufur dan syirik), sekalipun golongan (kafir musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya.” (Surah al-Anfal 8 :8).

Kita perlu mempertahankan kerajaan yang menyediakan satu kerangka Perlembagan Persekutuan yang memberi kedudukan istimewa kepada agama Islam. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama persekutuan.

Maka itu, sesuai dengan kedudukan itu, keputusan-keputusan kes yang dibawa ke mahkamah memberi kelebihan kepada hak umat Islam di Malaysia.

Ini misalnya dapat dilihat dalam keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen yang dibawa oleh ZI Publications pada tahun 2013 untuk mencabar Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Ternyata keputusan tersebut mengukuhkan kedudukan undang-undang syariah negeri yang berfungsi untuk memelihara kesucian akidah serta syariat Islam.

Kes Mohd Ezra dan syarikatnya, ZI Publications Sdn. Bhd. membabitkan penterjemahan dan penerbitan karya sarat dengan seribu satu unsur kesesatan, iaitu “Allah, Kebebasan dan Cinta”.

Karya asalnya yang berjudul Allah, Liberty, and Love dalam bahasa Inggeris ditulis oleh Irshad Manji, yang mengakui dirinya sebagai lesbian, jelas mengandungi racun liberalisme yang amat berbisa dan berupaya memesongkan akidah umat Islam.

Karya sesat Irshad Manji itu malangnya memperoleh sambutan daripada kumpulan pro-liberalisme negara ini.

Meskipun tindakan telah diambil oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), namun kelompok ini bertindak biadab dengan mencabar keabsahan undang-undang Syariah Selangor di Mahkamah Persekutuan.

Alasan yang dikemukakan mereka ialah undang-undang sedemikian kononnya menyekat hak kebebasan bersuara. Bagi mereka, kelihatannya kebebasan bermaksud mengatasi kesucian agama Islam!

Hakim Besar Malaya pada ketika itu, Tan Sri Md. Raus Sharif memutuskan bahawa umat Islam di Malaysia bukan sahaja terikat dengan undang-undang sivil tetapi juga perundangan Islam dan hukum-hukum syarak.

Beliau juga menegaskan bahawa peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dibaca secara terpisah-pisah malah sebaliknya mesti dibaca secara bersama dan secara keseluruhan.

Dengan perkataan lain, Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh persoalan kebebasan bersuara tidak boleh dibaca secara terpisah daripada Perkara 3 yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Oleh yang demikian, hak kebebasan bersuara mesti disemak dan diimbangi dengan tanggungjawab memelihara agama Islam sebagai Agama Persekutuan!

Secara tuntasnya, kerajaan Malaysia secara berpelembagaan menjaga kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan memberi hak-hak yang sewajarnya atas kedudukan itu.

Tiada hujah boleh disabitkan untuk mengatakan Malaysia negara sekular.

No comments:

Post a Comment