Saturday 28 July 2018

MENGHAYATI SEMANGAT IBADAT KORBAN

Sememangnya umat Islam sedar dan peka kelebihan ibadat korban yang setiap kali kedatangan Aidiladha. Amalan ibadat korban jelas membuktikan wujudnya suasana kerjasama dan saling membantu antara semua pihak.

Dari Aisyah bahawasanya Rasulullah bersabda: Tiada sesuatu amalan yang dikerjakan anak Adam pada hari raya haji yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah. Bahawasanya ia (korban) datang pada hari kiamat dengan tanduk, bulu dan kukunya, dan bahawasanya darah (korban) mendapat tempat mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, oleh kerana itu hendaklah kamu berkorban dengan hati bersih." (Hadir riwayat Tirmizi)

Firman Allah bermaksud: "Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lain) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka; binatang ternak yang disembelih itu." (Surah al-Hajj: 34)

Jelas, ibadat korban adalah satu 'syiar' atau lambang agama Allah iaitu maksudnya: "Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat takwa hati orang mukmin." (Surah al-Hajj: 32)

Ibadat korban terbahagi kepada dua iaitu korban nazar dan korban sunat. Daging korban nazar wajib disedekahkan seluruhnya. Manakala korban sunat dilakukan sama ada semua daging korban itu disedekahkan kepada fakir dan miskin serta orang yang berkorban boleh mengambil sedikit sekadar beberapa suap untuk mengambil berkat daripada korban itu atau daging korban itu dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu satu pertiga disedekahkan kepada fakir miskin, satu pertiga dihadiahkan kepada umat Islam dan satu pertiga lagi untuk orang yang berkorban.

Hukum ini berdasarkan kepada ayat bermaksud: "Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin." (Surah al-Hajj: 28) Dan juga ayat yang bermaksud: "Maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang yang tidak meminta dan yang meminta." (Surah al-Hajj: 36)

Semangat pengagihan daging korban inilah yang mesti kita pupuk dan semai di kalangan umat Islam. Dalam ibadat korban, ada jalinan kasih dan persaudaraan yang tidak ternilai harganya di antara umat Islam yang dipersiapkan Allah Taala. Betapa tidak, kita melihat dalam ibadat korban ada orang mampu menyembelih haiwan korban yang diagihkan kepada golongan tertentu dalam masyarakat. Bukankah ia akan mempererat lagi hubungan silaturahim di kalangan mereka?

Ibadat korban disunatkan Rasulullah sebagai latihan dan ujian bagi kaum Muslimin untuk memupuk semangat berkorban dengan cara mengeluarkan sebahagian kecil nikmat dan rezeki yang dilimpahkan Allah untuk dirasai golongan fakir miskin, sekali gus memanifestasikan syiar Islam itu.

Antara hikmah dan nilai murni pensyariatan korban adalah untuk melatih dan membentuk sahsiah peribadi umat Islam supaya sentiasa bersedia berkorban dengan sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Tuhan demi kepentingan orang lain. Ia juga sebagai satu cara mendekatkan diri kepada Allah, at-taqarrub seperti yang kita ikrarkan dalam sembahyang lima waktu: "Sesungguhnya solatku, hidupku, ibadahku dan matiku adalah untuk berbakti kepada Allah.

Dengan penyembelihan binatang korban itu, boleh dinikmati oleh diri orang yang berkorban itu sendiri, kaum keluarga jiran tetangga dan sahabat handai seluruhnya.

Junjungan kita bersabda dalam hadis yang masyhur maksudnya: "Perbandingan dan perumpamaan orang beriman itu dari sudut saling berkasih dan bertimbang rasa sesama mereka adalah seumpama satu tubuh badan manusia apabila suatu anggotanya berasa sakit maka seluruh tubuh badan itu akan menderita tidak lelap tidur dan diserang demam."

Berkorban adalah sebagai tanda syukur kepada Allah Taala terhadap nikmat yang dikurniakan-Nya kepada kita dan menanamkan nilai murni yang digalakkan Islam ke dalam jiwa seperti sifat belas kasihan, sikap penyayang, bekerjasama, suka menolong dan bersedekah. Antara fadilat berkorban adalah menambah amal kebajikan.

Sabda Rasulullah maksudnya: "Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan." (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim). Di samping itu, ia sebagai penebus dosa seperti disabdakan Baginda makudnya: "Hai Fatimah, berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang lalu." (Hadis riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)

No comments:

Post a Comment