Wednesday 11 July 2018

KELAB PUTERA 80-84

Kelab Putera 80-84 terus utuh menjadi medan mempersatukan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera. Kelab Putera 80-84 khusus bekas pelajar SMK Putera yang lahir pada 1967 tanpa mengira tahun bila mereka bersekolah di sekolah berkenaan.

Kelab Putera 80-84 mula terbentuk hasil reunion yang dilakukan pada tahun 1998 yang diadakan secara kelompok kecil sempena sambutan Aidilfitri pada tahun berkenaan. Bermula pada tahun berkenaan, setiap tahun diadakan pertemuan semula pada setiap Aidilfitri sehingga kemudiannya tertubuhnya secara rasmi Kelab Putera 80-84 pada tahun 2008 yang didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan.

Setelah penubuhan rasmi Kelab Putera 80-84 dan terbentuknya ahli jawatankuasa, aktiviti Kelab Putera 80-84 semakin aktif tidak terhad hanya kepada pertemuan Aidilfitri sahaja, bahkan pertemuan dan aktiviti lain yang diadakan dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun pertemuan pada setiap  Aidilfitri adalah agenda tetap kelab. Ini bermakna telah selama 20 tahun pertemuan pada setiap Aidilfitri diadakan tanpa gagal. Biarpun diadakan secara santai dan sedikit aktiviti yang diadakan di kantin SMK Putera, ia dianggap istimewa kepada ahlinya.

Bukan tidak mampu mengadakan di tempat lebih 'grand' seperti di restoran, hotel atau dewan, namun mereka mahu lebih santai dan tiada 'kerumitan' untuk mengendalikannya. Pernah sekali diadakan di sebuah resort, sambutan tidak semeriah diadakan di kantin sekolah.

Mana-mana bekas pelajar SMK Putera (lahir tahun 1967) dan pernah belajar biarpun setahun di sekolah itu dalam tempoh 1980 hingga 1984 adalah dipelawa menyertai kelab secara rasmi. Penubuhan kelab itu selain bertujuan mengumpulkan bekas pelajar juga akan menjadi medan pertemuan semula dengan bekas guru.

Kelab Putera 80-84 dinaungi oleh salah seorang bekas guru dan semua guru lain pula secara automatik akan menjadi ahli kehormat, yang turut dijemput untuk menghadiri aktiviti kelab dari masa ke semasa.  

Penubuhan Kelab 80-84 merapatkan hubungan bekas pelajar terutama dalam menyebarkan berita mengenai ahlinya. Penyaluran bantuan dan kunjungan terhadap ahli sentiasa diadakan. Malah, khabar berita mengenai kematian mudah disebarkan. Terdapat beberapa bekas pelajar telah mendahului rakan-rakan lain mengadap Ilahi. Alfatihah.

No comments:

Post a Comment