Saturday 14 July 2018

BURUNG HELANG DI PANTAI MELAWI

Berkunjung ke Pantai Melawi pada 13 Julai 2018, penulis sempat merakam penerbangan menarik sejenis burung kelihatan agak besar yang penulis yakin ia sejenis burung helang. Penulis difahamkan burung itu memang ada membuat sarang di kawasan Pantai Melawi.

Setelah pulang, penulis mencari maklumat mengenai burung itu berdasarkan gambar yang dirakam dengan gambar yang ada di internet. Setelah membuat perbandingan gambar, pastilah bahawa gambar yang penulis rakam itu adalah white bellied sea eagle atau diterjemah secara bebas kepada Bahasa Malaysia menjadi burung helang laut perut putih. Namun, nama rasmi tempatan white bellied sea eagle ialah burung lang siput atau nama saintifik Haliaeetus leucogaster.

Burung lang siput dikategori jenis karnivor yang menjadikan diet seperti tikus, ikan, burung dan haiwan kecil. Sesuai dengan tempat tinggal berhampiran pantai, lang siput menjadikan hampir separuh makanan adalah ikan.

Habitat burung lang siput boleh dijumpai di India dan Sri Lanka, di seluruh Asia Tenggara dan ke arah pantai Australia. Burung lang siput membiak dengan cara bertelur dalam sarang yang dibina mereka

Burung lang siput dewasa memiliki kepala, dada, bulu bawah sayap (terlindung) dan pelepah ekor putih. Bahagian atas kelabu dan bulu bawah pelepah penerbangan berlawanan dengan pelepah putih penutup kovert.

Ekornya pendek dan berbentuk baji sebagaimana kesemua spesies lang laut Haliaeetus. Sebagaimana burung raptor lain, burung betina agak besar sedikit berbanding burung jantan, dan mampu mencapai sehingga sepanjang 90 cm dengan lebar sayap sehingga 2.2 m dan seberat 4.5 kg. Burung muda memiliki jambul perang, yang perlahan-lahan bertukar putih sehingga berusia lima dan enam tahun.

Untuk makluman, penulis bukan 'pemburu' gambar burung. Kehadiran di Pantai Melawi adalah untuk singgah seketika sambil beristirahat dan membawa kemera untuk merakam gambar pantai. Peluang merakam gambar burung lang siput satu pengalaman menarik.

No comments:

Post a Comment