Saturday 21 July 2018

SIKAP BAPA JADI INSPIRASI ANAK

Sikap bapa menunjukkan taulada baik menjadi inspirasi kepada anak untuk melakukan perkara sama. Anak sentiasa berbangga dengan apa dilakukan oleh bapa sebagai contoh terbaik. Orang terdekat dan menjadi cermin kepada anak adalah bapa sendiri. 

Biasanya bapa akan menjadi ceria ada hubung kaitnya dengan keceriaan wajah anak-anak serta layanan mesra isteri. Keletihan dan tekanan kerja akan menjadi hilang apabila melihat rumahnya dihiasi dengan anak-anak dan isteri solehah. Keadaan mereka itu menepati konsep rumahku syurgaku.

Sebaliknya, bapa yang tidak bermoral mereka akan menganggap anak dan isteri sebagai menambah tekanan perasaan. Kadang-kadang bebanan dan tekanan perasaan akibat kerja dilepaskan di rumah. Lalu, anak dan isteri yang menjadi mangsanya.

Oleh sebab itu, kadang-kadang bapa ini lebih suka berada di luar rumah bersama-sama rakan. Mereka sudah kehilangan punca, lalu rumah dirasakan neraka. Tindakan itu tidak dapat menyelesaikan masalah, bahkan ia semakin menjadi kusut. Apabila interaksi dan kasih sayang keluarga menjadi rapuh, kehidupan akan menjadi lebih tertekan. 

Pengalaman yang lampau mendapati ramai suami terlibat dalam aktiviti kurang sihat apabila berada di luar rumah. Mereka terpaut dengan cinta murahan yang akhirnya keluarga semakin terabai. Tidak kurang juga, sikap makin berakhir dengan keruntuhan rumahtangga. Tatkala itu, anak hilang hormat dan kasih sayang terhadap ayah sendiri.

Satu situasai amat janggal, apabila didapati bapa dan anak tidak sehaluan. Malah hubungan bapa dengan anak tidak kelihatan mesra, seakan-akan tidak wujud langsung sinar kasih sayang antara bapa dan anak. Hubungan yang wujud hanya dari segi hubungan darah, tidak lebih dari itu.   

Dalam soal ini, peranan isteri amat penting. Isteri boleh membantu suami menjalankan peranan bapa dan ketua keluarga. Pada masa yang sama isteri perlu berkongsi idea dan perasaan dalam memahami masalah yang ditanggung oleh suami. Dengan cara ini, memudahkan masalah itu diselesaikan atau sekurang-kurangnya tidak menyebabkan lebih kusut.

Oleh yang yang demikian, hubungan erat bapa dan anak perlu dijalinkan sejak anak-anak itu  masih kecil. Hubungan erat itu memberi  kesan berterusan sehingga anak meningkat dewasa, malah setelah mempunyai keluarga sendiri. Bapa dan anak yang sudah serasi tidak kekok untuk masing-masing menunjukkan perasaan kasih sayang. 

Jika kita rujuk kepada sejarah, Rasulullah tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa msekipun sibuk dengan urusan menyampaikan risalah Allah. Walaupun anak baginda sudah berumahtangga, masih diberi perhatian dan teguran. Rasulullah sentiasa mengunjungi Fatimah dan bertanya khabar. Malah, Rasulullah memberi sambutan mesra setiap kali ketibaan Fatimah di rumahnya. Biasanya baginda bangun menyambut ketibaannya, dan memberi kucupan dan seterusnya memimpin ke tempat duduk.  

Kasih sayang berterusan bapa terhadap anak, terutamanya anak perempuan bukan menganggu urusan rumah tangga anak-anak. Anak perempuan yang sudah berkahwin menjadi hak mutlak suaminya. Namun, ikatan kasih sayang bapa terhadap anak merupakan kasih sepanjang hayat. 

Jadi, untuk menjadi bapa misali, seorang bapa perlu belajar untuk memahami banyak perkara berkaitan hidup rumahtangga. Cubalah belajar dan menimba pengalaman sebanyak mungkin meskipun sudah lama berkahwin. Bapa seharusnya menjadi seorang individu ‘serba boleh’. Walaupun tidak mahir, bapa tentu mengetahui kelemahan anaknya yang boleh dibantu untuk menceriakan rumah tangganya. 

Dalam hal ini, seorang bapa pda alaf moden perlu tahu dan memahami keperluan anak zaman moden. Fikiran bapa perlu kehadapan melihat keperluan anak moden. Semua itu adalah untuk memudahkan urusan berinterasi dengan anak. Dengan sikap itu, anak akan lebih menghormati dan kagum terhadap bapanya.   

Sesungguhnya bapa yang baik, bukan sahaja prihatin dan kasih sayang kepada anak sendiri tetapi turut ditumpahkan kepada anak-anak orang lain. Lihatlah pada Rasulullah yang baginda sentiasa menyayangi kanak-kanak, terutama anak yatim piatu.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Bukanlah dari golongan kami, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kacil kami.” - (Hadis riwayat Tabrani).

No comments:

Post a Comment