Monday 16 December 2019

IKAN BUDU MENU ISTIMEWA MUSIM TENGKUJUH

Apabila disebut ikan budu, tentu ramai menyangka itu menu ikan yang dicampur dengan budu. Sangkaan itu tidak tepat. Budu yang memang terkenal di Kelantan sebenarnya tidak menjadi bahan dalam menu ikan budu.

Dinamakan ikan budu kerana proses penghasilan ikan budu hampir sama dengan proses membuat budu. Bezanya, ikan budu kekal dalam bentuk ikan sedangkan budu menjadi dalam bentuk cecair.

Cara pemprosesan ikan budu melalui kaedah sama memproses budu iaitu perlu diperam selama lima hingga enam bulan.

Ikan perlu dibersihkan sebelum dimasukkan ke dalam tong yang berisi garam kasar dan asam keping secara berlapis-lapis.

Garam itu kemudian ditabur ke atas ikan sehingga tertimbus dan dibiarkan di dalam bekas tertutup selama lima hingga enam bulan.

Jenis ikan yang biasa digunakan ialah ikan selar, cencaru, kembung dan ikan aya.

Ketika proses peram tersebut perlu dipastikan penutup bekas berisi ikan itu rapat bagi mengelakkan dihinggapi lalat kerana boleh menyebabkan ikan berulat.

Sebenarnya penghasilan ikan budu dilakukan oleh orang dahulu sebagai persediaan untuk menghadapi musim banjir. Ketika musim tengkujuh, nelayan tidak dapat turun ke laut.

Jadi, dengan adanya ikan budu yang boleh disimpan lama, ia dapat dimakan apabila sukar untuk mendapatkan ikan segar. 

No comments:

Post a Comment