Sunday 11 October 2020

LAKU APA SAHAJA KEBAIKAN UNTUK MENGUBAH NASIB

 
Mencari rezeki, mempertahankan keselamatan negara, melaksanakan hubungan sosial yang tertib dan sebagainya dinamakan ibadat kepada Allah, selagi dilaksanakan kerana Allah dan tidak bertentangan dengan kehendak syariat.  
 
Sebenarnya seluruh aktiviti kehidupan ini adalah ibadat kepada Allah kerana itulah tujuan manusia dicipta. Allah berfirman dalam surah adz-Dzariyat ayat 56 bermaksud: “Dan tidaklah Aku menciptakan sekalian jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadat kepada-Ku.” 
 
Allah amat murka kepada mereka yang membincangkan soal kebaikan, sebaliknya tidak melakukannya. Mereka alim mengenai hukum agama, tetapi menyempitkan kefahaman agama hanya kepada apa diingini.  
 
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman!  Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebenciannya di sisi Allah, perkataanmu lain daripada perbuatanmu.” (Surah ash-Shaff, ayat 2 - 3). 
 
Dalam konteks Islam, setiap apa kebaikan dan kejayaan yang dicapai bukan sekadar untuk diri sendiri saja. Sebenarnya Islam mementingkan kepada kesejahteraan agar dapat dinikmati di kalangan seluruh umat Islam. 
 
Ini keindahan yang diamalkan dalam Islam berkaitan dengan pemilikan kekayaan. Kekayaan yang dimiliki di kalangan orang Islam hendaklah disalurkan dan digunakan mengikut syariat seperti membayar zakat, sedekah, wakaf dan membuat kebajikan.  
 
Sesiapa membelanjakan kekayaan yang dimiliki ke jalan Allah adalah mereka yang beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Darjat mereka di sisi Allah amat mulia dan tinggi. 
 
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah dan mereka itulah orang yang berjaya.” (Surah at-Taubah, ayat 20).   
 
Sesiapa menyahut seruan agama, maka dia dianggap telah melakukan amalan menolong Allah. Dengan demikian Allah telah memberi perakuan akan memberi kejayaan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. 
 
Firman Allah bermaksud: “Jika kamu menolong Allah, nescaya Allah akan menolong kamu dan menetapkan pendirian kamu.” (Surah Muhammad, ayat 7). 
 
Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib individu maupun masyarakat, jika individu dan masyarakat itu sendiri tidak mahu mengubahnya. Allah tidak menurunkan rezeki secara bergolek, melainkan manusia yang berusaha mendapatkannya.

No comments:

Post a Comment