Wednesday, 28 April 2021

RUTAB KURMA BAHARU MASAK

 
Bangsa Arab mengenali buah kurma pada peringkat berlainan dengan nama yang berbeza. 
 
Permulaan pembentukan buah dipanggil dengan ‘hababauk’, diikuti dengan ‘chimri’ atau ‘kimri’ dan seterusnya ‘khalal’. 
 
Apabila umur buah memasuki 120 hari, ia dikenali ‘rutab’ atau ‘ruthob’. Pada usia itu ia mula masak dan dapat dikenali ada bahagian buah bertukar menjadi lembut dengan cairan gula atau manisan yang mula kelihatan. Warna buah bertukar menjadi coklat yang ringan. Semakin hari, semakin banyak bahagian menjadi lembut dengan cairan manisan! 
 
Ia sangat enak dimakan kerana rasanya paling manis, tetapi memerlukan cara petikan yang berhati-hati serta penyimpanan yang baik. Peringkat rutab akan berlangsung selama sebulan sebelum bertukar menjadi ‘tamar’ atau buah kurma yang telah masak sepenuhnya dengan kandungan airnya mengering.
 
Biarpun dari jenis buah yang sama, namun peringkat kematangan yang berbeza memberikan kelainan antara rubab dengan tamar. Perbezaan itu dari segi:
- Tempoh ketahanan
- Kandungan kalori
- Kandungan nutrisi
- Kandungan macronutrisi
- Kandungan micronutrisi
- Kandungan serat. 
 
Kandungan kalori rutab lebih rendah dari tamar. Setiap 100 gram rutab mengandungi sekitar 145 kalori berbanding tamar sebanyak 280. Rutab tidak menggemukkan! 
 
Rutab teksturenya lebih lembut, kemanisannya lebih tinggi, menjadikan memakannya sangat mudah dan enak. 
 
Pada masa yang sama, kandungannya hampir lengkap untuk pemakanan mudah tanpa perlu dimasak. 
 
Rutab disebut dalam al-Quran. Firman Allah SWT bermaksud: “'Dan goncangkan ke arahmu pangkal pohon kurma (yang kamu bersandar padanya itu), nescaya akan menggugurkan kepadamu buah kurma segar baharu masak (rutaban janiyya). Maka makan, minum dan dan bersenang hati'. (Surah Maryam, ayat 25 dan 26). 
 
Berdasarkan ayat tersebut dapat dianggarkan mengenai tarikh kelahiran Nabi Isa. Penganut Kristian percaya tarikh kelahiran Nabi Isa pada 25 Disember dan dijadikan tarikh untuk dijadikan hari sambutan Krismas. 
 
Bukan untuk dibahaskan atau pedebatan, namun cukup sekadar kita memahaminya berdasarkan apa yang dinyatakan dalam al-Quran berdasarkan kepada ayat di atas. 
 
Musim kurma mula masak di Palestin Purba sehingga kini ialah antara akhir Ogos sehingga awal Oktober. Ia bersamaan musim panas di Palestin. Panahan panas matahari dan suhu kering 'memasakkan' buah kurma yang sebelumnnya putik. 
 
Berdasarkan cerita ayat di atas, Nabi Isa dilahirkan ketika kurma pada peringkat rutab, iaitu sekitar akhir musim panas pada akhir Ogos sehingga awal Oktober.

No comments:

Post a Comment