Friday 12 May 2023

RUFAIDA PENGASAS KEJURURAWATAN ISLAM

 
Tarikh 12 Mei adalah Hari Jururawat Sedunia. Tarikh ini dipilih sempena kelahiran Florence Nightingale pada 1820, dikatakan orang pertama yang mengasaskan kejururawatan moden.
 
‎Tapi tahukah anda, ada wanita pada zaman Rasulullah SAW yang melakukan kerja-kerja jururawat secara tersusun? ‎Beliau yang dimaksudkan ialah Rufaida al Aslamia.
 
Nama penuh beliau ialah Rufaida binti Saad dari Bani Aslam. Beliau antara penduduk Madinah yang awal memeluk Islam. Turut bersama kaum Ansar sewaktu menyambut ketibaan Nabi SAW yang melakukan hijrah dari Makkah ke Madinah.
 
‎Ayahnya seorang tabib yang mengajar beliau ilmu perubatan.
 
Sewaktu peperangan, Nabi SAW pernah mengarahkan tentera yang tercedera dihantar ke khemah Rufaida untuk dirawat.
 
‎Dalam perang Khandaq, Saad bin Muadz antara sahabat yang tercedera dan dihantar ke khemah Rufaida, ketika itu dibuka di Masjid Nabi.
 
Rufaida telah mengasaskan “unit penjagaan kesihatan bergerak” dengan menggunakan pengalaman dan pengetahuan perubatan beliau.
 
Beliau juga berusaha untuk menangani masalah kesihatan di kalangan masyarakat yang miskin dengan menggalakkan penjagaan kebersihan.
 
Beliau turut melatih kumpulan wanita lain untuk melakukan kerja-kerja kejururawatan dan mengetuai mereka merawat mangsa-mangsa peperangan termasuk Perang Badar, Uhud, Khandaq, Khaibar dan lain-lain.
 
Nama beliau telah diabadikan pada salah satu bangunan di Aga Khan University School of Nursing di Pakistan, dan di Universiti Bahrain, pelajar terbaik dianugerahkan ‘Rufaida Al-Aslamia Prize in Nursing’ secara tahunan.
 
Selamat Hari Jururawat kepada semua Jururawat di Malaysia dan seluruh dunia.
 
Moga terus cemerlang dan terus berusaha menambah baik mutu perkhidmatan.

No comments:

Post a Comment