Friday 21 July 2023

TOLAK FAHAMAN ASINGKAN AGAMA DENGAN POLITIK

 
Ada sebahagian tokoh Islam telah mengemukakan pendapat yang songsang dan menafikan sistem politik Islam dengan pelbagai hujahan yang amat lemah dan telah disanggah oleh sekian ramai para ulama.
 
Mereka menolak urusan politik menjadi sebahagian tuntutan agama. Dakwa mereka, bahawa syariat Islam adalah syariat yang bersifat spiritual semata-mata, yang datang untuk mengatur hubungan antara manusia dan Tuhan-Nya sahaja.
 
Malah dikatakan, perutusan Nabi Muhammad SAW adalah untuk menyampai dakwah ketuhanan dan ibadah semata. Tugas Nabi bukan untuk menjadi pemimpin, tetapi membawa berita gembira dan amaran tentang sesuatu amalan yang dilakukan yang berkaitan dengan hari pembalasan.
 
Pemikiran itu bertentangan dengan ajaran Islam yang lengkap mencangkupi semua aspek kehidupan. Pemikiran itu sebenarnya mirip kepada dasar yang diamalkan atau diperkenalkan oleh pemerintah di Barat yang memisahkan agama dengan politik.
 
Pemisahan politik dari Islam mula berlaku apabila kenyataan “biarkan urusan politik bagi maharaja dan urusan agama bagi Allah” diperkenalkan dalam masyarakat Kristian pada zaman kegelapan di Barat. Pemisahan ini dinamakan sekularisme.
 
Dunia barat memisahkan politik dari agama Kristian ketika itu sebagai protes terhadap penguasaan melampau pihak gereja dalam kedudukan harian masyarakat feudal. Apabila masyarakat Islam dijajah dan diresapi dengan pengaruh Barat serta merebaknya fahaman kebendaan, fikiran mereka mulai diracuni oleh fahaman sekular tersebut.
 
Islam melarang keras umatnya berpegang kepada fahaman tersebut kerana bagi Islam, politik adalah suatu perkara yang perlu bagi menegakkan agama sebagai satu cara hidup yang sempurna.
 
Ulama bersepakat menolak fahaman seperti ini yang mengakui agama hanyalah bersifat spiritual sedangkan agama Islam merupakan suatu cara hidup, begitu juga politik Islam.
 

No comments:

Post a Comment