Friday 22 September 2023

SIFAT BERSYUKUR ELAK TEKANAN PERASAAN

 
Banyak orang mengalami tekanan perasan bukan kerana perkara atau keadaan yang sedang dihadapi. Sebaliknya ia disebabkan perkara yang telah lama berlaku dan akan berlaku. Perkara ini berlaku disebabkan sikap tidak mahu menerima kenyataan dan tidak bersyukur.
 
Perkara yang telah lama berlaku adalah sejarah. Terimalah hakikat bahawa ia telah berlaku dan masa tidak mungkin dapat diundur. Kalau ia sesuatu kejadian atau perkara yang boleh diperbaiki atau diubah, berusahlah untuk mengubahnya menjadi lebih baik tanpa perlu ada perasaan tertekan.
 
Tidak perlu kesali apa yang telah berlaku. Nasi telah menjadi bubur. Bubur tidak akan dapat menjadi nasi kembali dari segi bentuknya, biarpun pada hakikatnya ia tetap nasi. Kalau hendak nasi juga, carilah beras dan kemudian ditanak untuk menjadi nasi.
 
Begitulah kehidupan. Kita kena menerima hakikat apa yang telah berlaku dan hadapi dengan fikiran yang positif. Kehidupan tetap perlu diteruskan biarpun apa yang terjadi sebelumnya.
 
Ada juga orang menjadi tertekan dan fikiran sering terganggu disebabkan tidak memiliki sesuatu atau tidak mencapai apa yang diingini.
 
Memang betul sikap manusia sentiasa ada apa yang ingin dimiliki dan dicapai. Berusahalah dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya.
 
Namun, jika tidak mendapat apa yang diingini, janganlah berasa tertekan. Terimalah hakikat belum ada rezeki lagi. Bersyukurlah dengan apa yang ada sekarang dengan harapan sikap tersebut akan membuka rezeki yang lebih luas.
 
Belajarlah untuk menerima seadanya apa yang telah dimiliki. Jaga dan bersyukurlah. Ada orang lain yang lebih tidak “berjaya” untuk mendapatkannya.
 
Allah memberi apa yang kita perlukan dan terbaik untuk kita, bukannya apa yang kita mahukan.

No comments:

Post a Comment