Sunday 20 August 2023

TOK BALI HAB INDUSTRI PERIKANAN KELANTAN

 
Tok Bali kini dikenali hab industri perikanan Kelantan. Nama Tok Bali sinonim dengan ikan segar sehingga sebut sahaja ikan segar, maka terbayang ikan Tok Bali.
 
Tok Bali bukan sahaja terkenal dengan ikan segar, bahkan terdapat industri berkaitan ikan terdapat di Tok Bali. Bahkan, Tok Bali telah dinobatkan sebagi hab industri halal berkaitan ikan dan hasil laut.
 
Sebenarnya, nama Tok Bali bukan lama dalam industri perikanan di Kelantan. Jika belajar geografi di sekolah dahulu, nama yang disebut sebagai lokasi pendaratan ikan di Kelantan ialah di Tumpat, Sabak dan Bachok.
 
Sebelum tahun 1990-an, nama Tok Bali tidak dikenali seperti sekarang. Boleh dikatakan tiada orang Kelantan yang tahu atau kenal di mana letakkan Tok Bali, melainkan penduduk yang tinggal berhampiran.
 
Namun, nama Tok Bali menjadi terkenal setelah kawasan tersebut dibangunkan sebagai lokasi pembangunan berstrategik, berfokus dan teratur. Terletak 16 kilometer dari bandar Pasir Puteh, Tok Bali menjadi permata pembangunan Kelantan.
 
Perubahan sinar pembangunan bermula dengan pembinaan sebuah jambatan melengkung sepanjang kira-kira 300 meter yang kini dikenali Jambatan Tok Bali.  
 
Jambatan Tok Bali mula digunakan sejak tahun 1996, menjadi penghubung laluan pantai dari Kota Bharu sehingga ke Kuala Terengganu.
 
Terusan Semerak digali sebagai sebahagian daripada rancangan pembangunan kawasan Kemasin Semerak melibatkan dua jajahan (daerah) Bachok dan Pasir Putih.
 
Terusan Semerak merupakan nadi utama kepada pembangunan bandar perikanan di Tok Bali dan memberi kemudahan kepada lebih 300 bot nelayan laut dalam dan nelayan tradisional mendaratkan hasil tangkapan di Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali.
 
Selain jeti LKIM, di Terusan Semerak menjadi pangkalan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Kelantan, serta beberapa agensi lain serta pihak swasta yang memanfaatkan kegunaan terusan sepanjang kira-kira 7.5 kilometer itu.

No comments:

Post a Comment