Wednesday 25 October 2023

MEMBELI IKAN KERING DI TAWAU

 
Antara tarikan pengunjung ke Tawau, Sabah ialah ikan kering atau ikan masin. Ikan kering di Tawau bukan sahaja murah tetapi juga banyak pilihan dan berkualiti.

Mereka yang ingin mendapatkan ikan masin boleh berkunjung ke Pasar Tanjung, di tingkat satu. Ia beroperasi seawal jam 6 pagi dan menutup perniagaan pada 6 petang. Namun, jika masih ramai pelanggan masa perniagaan dilanjutkan bagi memberi peluang kepada pembeli terutama yang datang dari jauh.

Banyak pengunjung luar yang datang dari Semenanjung, Labuan, Sarawak, pelancong asing malah penduduk Sabah dari daerah lain tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke pasar berkenaan untuk membeli ikan kering sekiranya mereka datang ke daerah yang terletak di pantai timur Sabah ini.

Antara jenis ikan kering yang dijual di situ adalah ikan putih, ikan ketamba, ikan kurau, ikan bilis, ikan kerapu, ikan tulai dan udang kering keluaran tempatan dan Indonesia, yang sering mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

Ada pengunjung yang membeli ikan kering sehingga ratusan ringgit. Bahkan ada yang membelanjakan ribuan ringgit untuk membeli pelbagai jenis ikan kering untuk kegunaan sendiri mahupun sebagai cenderahati kepada saudara mara dan rakan apabila pula ke tempat masing-masing.

Biarpun membeli dalam kuantiti banyak, pembeli tidak perlu bimbang kerana penjual ada menyediakan kotak dan membalutnya dengan kemas agar senang dibawa, termasuk dibawa memasuki kapal terbang.

Jika, tidak mahu membawanya, perkhidmatan penghantaran melalui syarikat penghantaran juga akan diuruskan oleh penjual.

Selain datang sendiri di Pasar Tanjung, ada juga peminat ikan kering Tawau membuat pembelian secara dalam talian. Biasanya pembeli ini pernah datang ke Tawau dan mengetahui kelebihan ikan kering Tawau, mereka akan mendapatkan maklumat dari penjual bagi membolehkan membuat pembelian secara dalam talian pada masa akan datang.

Pasar Tanjung Tawau yang terletak di Jalan Dunlop, berhampiran laut dan bersebelahan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tawau turut menempatkan pelbagai jenis jualan seperti keperluan dapur termasuk makanan mentah, namun ikan kering tetap menjadi tumpuan utama kebanyakan pengunjung.



No comments:

Post a Comment