Tuesday 31 October 2023

PCAK salur bantuan hasil sumbangan orang ramai

 
Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan (PCAK) menjejak asnaf segenap tempat. Di mana asnaf, di situ PCAK akan kunjungi untuk menyalurkan bantuan.
 
Menurut pengerusinya, Fazliyaton Daud, PCAK bukan organisasi besar yang mempunyai dana berjuta. PCAK mengharapkan sumbangan orang ramai bagi membolehkan ia menyalurkan bantuan kepada asnaf.  
 
Kali ini PCAK menyampaikan sumbangan dalam bentuk zakat yang dibayar oleh pembayar zakat yang percaya kepada fungsi dan keberkesanan PCAK melaksanakan amanah.
 
Apabila ada wang diserahkan kepada PCAK, tidak kiralah wang zakat atau sedekah, ia akan terus disampaikan kepada penerima. PCAK tidak pegang lama wang itu kerana tahu ada asnaf memerlukan bantuan segera.
 
Ada kalanya, wang diterima terus disampaikan beberapa jam kemudian. Bahkan, jika ada wang dimasukkan ke dalam akaun dan tidak sempat diambil di bank, wang pendahuluan milik pengerusi atau ahli PCAK akan digunakan.
 
Asnaf yang dibantu kali ini tinggal di kawasan bandar. Tidak jauh dari pejabat pentadbiran kerajaan negeri. Bukan hendak tuju kepada sesiapa atau mana-mana pihak, tetapi sekadar saling mengingatkan bahawa lokasi tempat kediaman tidak menjamin atau menjanjikan apa-apa.
 
Keadaan rumah banyak tempat atapnya telah bocor. Dikhabarkan, asnaf itu telah memohon bantuan banyak kali kepada pihak tertentu. Tetapi, sampai sekarang masih belum ada bantuan untuk menggantikan atap yang bocor.
 
Anda boleh menjadi sebagai sebahagian sahabat PCAK sama ada sebagai sukarelawan atau penyumbang untuk menjayakan program PCAK agar lebih banyak lagi asnaf dapat dibantu. 
 
Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Pengerusi PCAK, Fazliyaton Daud di talian 011-1941-3639. 
 
Pihak yang ingin menyumbang boleh dilakukan melalui akaun bank: 100-5055-000000-084 (MBSB). 
 
Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan adalah pertubuhan berdaftar. Nombor pertubuhan: PPM-006-03-30032021
 
 

No comments:

Post a Comment