Monday 27 November 2023

AIR TERJUN SUNGAI PANDAN, KUANTAN AMAT MENARIK

 
Air Terjun Sungai Pandan atau dkenali juga dengan nama Air Terjun Panching terletak kira-kira 25 kilometer dari bandar Kuantan, Pahang. Lokasinya di tengah-tengah di antara Kuantan dengan Sungai Lembing. Dari Kuantan mahupun Sungai Lembing, masa untuk sampai ke tempat tersebut kira-kira 40 minit.
 
Kawasan Air Terjun Sungai Pandan merupakan sebahgian daripada Hutan Lipur Pandan. Lokasi ini menjadi tumpuan ramai untuk berkelah, mandi manda atau bersantai bersama keluarga dan kawan-kawan. Kawasan rekreasi ini cukup terkenal di kalangan penduduk Kuantan dan juga dari seluruh Pahang mahupun Malaysia.
 
Pemandangan air terjun yang mengalir menuruni batu pejal curam dan menghempas bahagian bawah pasti membuatkan banyak orang terpesona. Mana tidaknya, landskap air terjun yang terbentuk di sini begitu cantik dan unik.
 
Kawasan air terjun yang dikelilingi hutan malar hijau menghiasi suasana damai dan tenang. Ia selamat dikunjungi sepanjang tahun, kecuali pada hari hujan lebat. Menariknya di sini, tidak berlaku kepala air yang kerap berlaku di kebanyakan tempat lain. Kalau hari hujan lebat, memang aliran airnya lebih besar berbanding biasa, tetapi bukan dalam keadaan kepala air yang datang tiba-tiba.
 
Pelbagai kemudahan lain tersedia di sini seperti gerai makan, tandas awam, surau, bilik persalinan, tapak perkhemahan dan juga beberapa buah chalet.
 
Jika anda bercadang untuk datang berlibur dan bersantai di Air Terjun Sungai Pandan ini pada hujung minggu atau cuti umum, pastikan anda datang lebih awal untuk ‘dapatkan’ port tempat berkelah menarik berlatarbelakangkan air terjun ini.
 
Untuk memasuki kawasan Air Terjun Sungai Pandan dikenakan bayaran konservasi sebanyak RM 2 dikenakan untuk pengunjung dewasa, manakala kanak-kanak berusia antara 7 hingga 12 tahun pula hanya dikenakan bayaran sebanyak RM 1.
 
Walau bagaimanapun, pengunjung bukan pemegang MyKad, bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM5 untuk dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak. Selain caj konservasi, bayaran meletak kenderaan turut dikenakan sebanyak RM3.
 
Berdekatan dengan tempat meletak kenderaan, terdapat takungan yang kelihatan seolah-olah kolam renang di bahagian bawah. Bahagian dewasa dan kanak-kanak diasingkan berdasarkan kedalaman kolam selain air di kawasan kolam ini turut kelihatan tenang.
 
Air Terjun Sungai Pandan dibuka setiap hari kecuali pada hari Jumaat. Waktu operasi adalah dari pukul 9 pagi hingga 5 petang pada hari-hari biasa. Pada hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah pula, waktu operasi dilanjutkan hingga pukul 6 petang.


No comments:

Post a Comment